Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi Roslee Daud yang sebelum ini mengisytiharkan keluar daripada UMNO, mengakui keputusan itu dibuat secara terburu-buru.

Beliau juga berkata keputusan itu dibuat atas pertimbangan sendiri tanpa arahan sesiapa.

"Sebenarnya saya kurang jelas pada mulanya, terkejut dengan keputusan itu (pertukaran menteri besar), namun selepas diberi penjelasan oleh pucuk pimpinan parti, baru saya yakin dengan keputusan pertukaran itu," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyertai pertemuan Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, bersama-sama 13 ADUN dan Speaker DUN Terengganu di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Roslee yang Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri sebelum ini dilapor keluar daripada UMNO dan menjadi wakil rakyat Bebas selepas bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said, yang juga ADUN Kijal, dan ADUN Ajil Ghazali Taib berbuat demikian.

Beliau bagaimanapun menarik balik surat keluar daripada UMNO dan kembali menjadi wakil rakyat Barisan Nasional (BN).