Dua lagi mayat mangsa nahas pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 dan serpihan pesawat tersebut tiba di Lapangan Udara Iskandar, Pangkalan Bun pada Jumaat pukul 7.50 pagi waktu tempatan.

Ini menjadikan keseluruhan 10 mayat mangsa telah dibawa untuk proses identifikasi dan pengecaman DNA sehingga pagi ini.

Kedua-dua mayat dan serpihan pesawat tersebut dihantar menggunakan Helikopter Skuadron Udara TNI Angkatan Laut dari kawasan pencarian.

Astro AWANI difahamkan kedua-dua mayat wanita itu ditemui oleh dua kapal laut berasingan pada Khamis.

Satu mayat ditemui oleh KRI Yos Sudarso bersama dengan serpihan kabin pesawat manakala satu mayat lagi ditemui oleh kapal Malaysia, KD Lekir.

Pengarah Operasi BASARNAS, S.B. Supriyadi berkata dengan penemuan kesemua mayat mangsa dan serpihan pesawat di kawasan pencarian yang sama, itu memberi petunjuk positif kemungkinan rangka pesawat berada di sekitar kawasan tersebut.

Bagaimanapun, Supriyadi tidak dapat mengesahkan dengan lebih lanjut jika terdapat sebarang penemuan terbaru di kawasan pencarian.

Sementara itu, hari ke enam operasi Pasukan Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (BASARNAS) dijangka sedikit terjejas dengan ombak besar dan angin kencang.

Badan meteorologi negara itu memaklumkan hujan dijangka turun di kawasan Selat Karimata.

Hujan juga dijangka turun di Laut Jawa, perairan Kalimantan Barat serta perairan Lampung dan Selat Sunda.

Operasi pencarian sehingga hari ke enam:

1 mayat telah dikenal pasti dan telah dikebumikan pada Khamis
4 mayat masih dalam proses pengecaman DNA
2 mayat telah dipindahkan ke Pangkalan Bun
3 mayat masih di dalam Kapal BASARNAS

Jumlah mayat yang ditemui setakat ini: 10