Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 38,333 pusat penjagaan kanak-kanak yang berdaftar bagi menampung bilangan anak-anak berusia bawah empat tahun yang memerlukan penjagaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, sehingga Jun tahun ini hanya terdapat 4,302 pusat jagaan kanak-kanak yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Kita mahu wujudkan lebih banyak Pusat Jagaan Kanak-kanak yang berdaftar di tempat kerja, lengkap dengan fasiliti dan mempunyai pekerja yang terlatih dalam pengurusan kanak-kanak. Perkara ini perlu diberi penekanan.

"Kerajaan menyokong penuh usaha syarikat swasta membuka pusat jagaan kanak-kanak, melalui pemberian beberapa insentif termasuk pengecualian cukai untuk pengubahsuaian dan penyelenggaraan bangunan yang dibuat untuk tujuan itu," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Taska Krista@RedQ di sini, hari ini.

Taska yang lengkap dengan pelbagai fasiliti dan mampu menampung sehingga 80 kanak-kanak itu, merupakan sebuah pusat jagaan kanak-kanak di ibu pejabat AirAsia, RedQ.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tony Fernandes berkata pihak berusaha mewujudkan suasana tempat kerja yang menggembirakan dan selesa untuk semua kakitangan termasuk ibu bapa yang bekerja.

"Pusat jagaan kanak-kanak ini merupakan sebahagian yang kami lakukan untuk memberi ketenangan kepada kakitangan kami dengan mengetahui anak-anak mereka dijaga dengan baik," ujarnya.

Tony juga menegaskan kejayaan sebuah syarikat bergantung kepada kakitangannya.

"Saya percaya bahawa jika anda menjaga kakitangan anda, mereka pasti akan menjaga para pelanggan anda," katanya.