Keadaan banjir di Sarawak beransur reda apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan di negeri itu semakin menurun berbanding semalam.

Setakat jam 6 pagi tadi, jumlah mangsa banjir di negeri itu menurun kepada 1,681 orang berbanding 1,752 pada lewat malam semalam.

Kesemua mereka ditempatkan di lapan pusat pemindahan banjir di empat bahagian iaitu di Mukah, Limbang, Samarahan dan Miri.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara Sarawak berkata bahagian Samarahan masih mencatatkan mangsa banjir paling ramai iaitu 788 orang diikuti Limbang (570), Miri (246) dan Mukah (77).