Ekonomi negara terus mengekalkan momentum pertumbuhan memberangsangkan, dengan mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 6.2 peratus bagi suku ketiga 2017.

Ini berbanding pertumbuhan 5.6 peratus dan 5.8 peratus bagi suku pertama dan kedua 2017, serta 4.3 peratus pada suku ketiga 2016.

Menurut Bank Negara Malaysia, permintaan dalam negeri terus menjadi enjin utama pertumbuhan ekonomi negara, terutamanya perbelanjaan sektor swasta.

Inflasi keseluruhan turut menurun kepada 3.8 peratus, didorong oleh inflasi pengangkutan yang lebih rendah.

Selain itu, sektor perkhidmatan tumbuh 6.6 peratus, perkilangan 7.0 peratus, pertanian 4.1 peratus, perlombongan 3.1 peratus, dan pembinaan 6.1 peratus.

Bank pusat berkata, kualiti aset dan keuntungan institusi kewangan tempatan juga kekal sihat.

Tambahnya, sektor perniagaan dan isi rumah terus menunjukkan kemampuan membayar balik hutang yang kukuh.

Bagi keseluruhan tahun 2017, bank pusat menjangka inflasi akan dicatat pada kadar lebih tinggi, sekitar 3-4 peratus.

Manakala secara keseluruhannya, KDNK negara dijangka tumbuh lebih tinggi dari jangkaan, sekitar 5.2–5.7 peratus tahun ini.