Situasi ekonomi semasa di negara ini sebenarnya peluang terbaik untuk direbut golongan usahawan khususnya pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS), kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata demikian sewaktu menjadi tetamu program Agenda AWANI semalam yang membincangkan isu Penstrukturan Semula Ekonomi Malaysia.

“Pertama, kita tidak perlu risau kerana keadaan ekonomi kita tidak gawat ataupun berada dalam krisis. Gawat itu bermaksud sekiranya ekonomi dalam kadar negatif dua penggal berturut-turut,” ujar beliau.

Jelas Ahmad Maslan, pertumbuhan ekonomi seperti yang dibentangkan semasa Bajet 2015, menyasarkan antara 5 hingga 6 peratus pertumbuhan, namun kemudian diturunkan antara 4.5 hingga 5.5 peratus kerana kejatuhan komoditi minyak dunia.

Kadar tersebut masih tidak meletakkan Malaysia dalam keadaan krisis ekonomi. Bank Dunia sendiri meletakkan angka 4.7 peratus untuk KDNK Malaysia.

“Dalam pembentangan bajet sebelum ini, Perdana Menteri ada menyebut tentang negara berteraskan keusahawanan. Kalau kita hendak menuju ke arah negara berpendapatan tinggi, aspek pendidikan dan kemahiran juga perlu tinggi, selain menjadikan rakyat berbudaya usahawan,” ujar beliau.

Tambah Ahmad Maslan, kajian banyak menunjukkan bahawa kebanyakan negara maju memiliki ramai rakyatnya yang bekerja sebagai usahawan. Maka, rakyat tempatan perlu menyedari bahawa peluang keusahawanan itu semakin terbuka dan menjanjikan pulangan.

“Tahun ini, Malaysia menjadi pengerusi ASEAN. Komuniti ASEAN ada 600 juta orang berbanding rakyat negara ini yang cuma 30 juta orang.

“Bayangkan barangan yang dapat dijual. Jika tidak cukup pasaran di negara ini, kita boleh meninjau keluar,” terang Ahmad Maslan yang menekankan bahawa pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) memainkan peranan penting kerana menjadi tumpuan teras dalam situasi ekonomi semasa.


Pada masa yang sama, menurut beliau, ekonomi semasa membuatkan harga barangan yang hendak dieksport menurun.

“Sebaliknya barangan import menjadi lebih mahal. Maka orang akan beralih kepada barangan tempatan. Inilah yang dinamakan pengganti kepada import,” jelasnya.

Menurut Ahmad Maslan, langkah seterusnya yang perlu diambil adalah menerap dan mengukuhkan lagi ilmu dan budaya keusahawanan di negara ini bermula dari penekanan mengenainya dalam sistem pendidikan.

Ahmad Maslan memberitahu, semua orang bercakap tentang penyusutan nilai ringgit. Tapi dalam ekonomi ada satu lagi perspektif iaitu tentang pengukuhan nilai dolar Amerika.

“Dalam hal ini, ringgit tidak merosot teruk dan apa yang dialami ringgit secara perbandingan adalah sama dengan keadaan matawang Euro, Yen, Dolar Australia misalnya. Bererti kalau melihat trend dalam jangka masa panjang, ringgit adalah stabil.

“Apakah kelebihannya? Hikmahnya di sini adalah pada sektor pelancongan. Orang yang datang melawat Malaysia melihat negara ini sebagai destinasi untuk melancong.

“Ini memberi kelebihan dan pertambahan kepada industri perhotelan, makanan, peruncitan dan sebagainya,” jelas beliau.