Sebanyak 7,036 syarikat telah mendaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu untuk melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) setakat ini.

Timbalan Pengarah Kastam Terengganu (Ketua Bahagian GST) Radzi Muhammad berkata daripada jumlah itu sebanyak 4,472 syarikat telah mendaftar di JKDM Kuala Terengganu membabitkan enam daerah iaitu Besut, Setiu, Marang, Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Hulu Terengganu.

"Manakala 2,564 lagi syarikat berdaftar di JKDM Kemaman melibatkan dua daerah iaitu Dungun dan Kemaman.

"Setakat ini, sebanyak empat syarikat telah diambil tindakan mengikut Seksyen 184 Akta GST 2014 kerana lewat mendaftar dengan JKDM walaupun layak melaksanakan cukai itu.

"Dua syarikat telah mendapat keputusan mahkamah, satu syarikat dikenakan kompaun dan satu lagi syarikat masih dalam proses tindakan undang-undang," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Peraduan Jom Minta Resit GST di sini hari ini.

Selain itu, JKDM Terengganu juga mencatatkan 13 kes atas kesalahan tidak mengeluarkan invois cukai dan nilai kompaun yang dikenakan ialah sebanyak RM65,000 mengikut Seksyen 33, Akta GST 2014.

Radzi berkata JKDM Terengganu sentiasa memantau syarikat yang gagal mematuhi peraturan berkaitan GST seperti gagal membayar kepada JKDM walaupun layak berbuat demikian.

"Memang ada kes seumpama itu, sepatutnya mereka menghantar penyata sama ada penyata bulanan atau penyata untuk tiga bulan sekali.

"JKDM Terengganu sentiasa memantau mana-mana syarikat yang enggan mengikut peraturan GST dan satu pasukan digerakkan khas untuk tujuan itu setiap hari," katanya.