SEMBILAN tahun selepas dilancarkan, telefon pintar iPhone keluaran syarikat Apple kini mencecah angka jualan yang sangat mengkagumkan.

Rabu lalu, dalam satu mesyuarat bersama kakitangan, Ketua Eksekutif syarikat itu, Tim Cook memaklumkan, jualan iPhone sudah mencapai angka satu bilion, minggu lepas.

Ia kemudiannya diumumkan menerusi satu kenyataan media di laman web Apple.

CEO Apple, Tim Cook, memaklumkan jualan iPhone cecah 1 bilion, pada satu mesyuarat bersama kakitangan, Rabu lalu.
Angka itu menunjukkan rekod menakjubkan bagi Apple, sebuah syarikat yang ditubuhkan dengan sasaran mentransformasikan industri teknologi dan internet, sekaligus menjadikannya syarikat berasaskan teknologi paling berjaya.

iPhone pertama yang dilancarkan pada tahun 2007, hanya memerlukan 74 hari untuk mencapai jualan satu juta unit.

Selain iPhone, Nokia adalah jenama telefon bimbit yang turut pernah mencecah jualan satu bilion, menerusi dua model telefon keluarannya, Nokia 3310 dan Nokia 1100, pada tahun 2005.