Kerajaan menyasarkan pengeluaran kira-kira 280,000 unit kereta bagi pasaran Asia Tenggara dan China hasil pakatan strategik antara firma terkemuka China, Zhejiang Geely Holdings Group dengan syarikat automotif Proton Holdings Berhad (Proton).

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, pasaran kereta di Malaysia agak kecil yang mana tahun lepas jualan kereta pelbagai jenama adalah 580,000 unit berbanding China dengan jualan tahunan mencecah 28 juta unit.

"Pasaran tahunan China 28 juta unit jadi dia (China) nak bantu kita satu peratus daripada jumlah itu," katanya selepas merasmikan Ekspo Tanam Tuai di sini, hari ini.

Menurut Ong, untuk mencapai sasaran itu Proton memerlukan rakan strategik kerana penyelidikan serta reka bentuk bertaraf dunia amat penting untuk bersaing dalam pasaran antarabangsa.

"Syarikat ini Geely boleh menyokong dari segi penyelidikan yang canggih kerana kita perlu menghadapi satu perubahan yang besar. Sekarang semua syarikat kereta berlumba-lumba untuk menghasilkan kereta yang dipandu sendiri sepenuhnya seperti Volvo dan Mercedes.

"Jadi Geely bersama-sama Proton perlu membina kilang di sini untuk tempoh lima tahun ini. Apabila kilang siap, kereta akan memasuki pasaran China dan Asia Tenggara kerana Asia Tenggara merupakan satu destinasi yang sangat penting kerana mempunyai kira-kira 600 juta rakyat," katanya.

Ong yang juga Anggota Parlimen Tanjung Malim berkata, kilang pembuatan kereta Proton akan tertumpu di Tanjung Malim yang mana sebahagian besarnya masih di Shah Alam, Selangor.

"Tanjung Malim juga akan menyaksikan satu perubahan yang besar apabila pekerjaan baharu dijangka dapat diwujudkan pada tempoh akan datang susulan limpahan ekonomi di daerah ini.

"Kita mengambil kesempatan ini dengan merancang untuk membina kilang elektronik di Tanjung Malim kerana kereta menggunakan banyak barang elektronik. Apa yang penting ia membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda supaya mereka tidak berhijrah ke bandar besar," katanya.

Antara manfaat diraih Proton berikutan pemeteraian pakatan strategik dengan Geely baru-baru ini adalah mendapat hak eksklusif terhadap produk Geely, teknologi terbaru dan akses ke pasaran melangkaui Asia Tenggara dan China yang merupakan pasaran kereta terbesar dunia.

-- BERNAMA