Malaysia Airlines Berhad (MAB) dijangka akan kembali untung pada tahun hadapan menerusi Pelan Pemulihan 12 Perkara Malaysia Airlines (MRP).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata demikian setelah mengumumkan kejayaan fasa pertama pelan tersebut.

"Alhamdulillah, pelan ini (MRP) telah membuahkan hasil di peringkat pertama yang focus kepada usaha untuk menstabilkan kewangan MAB.

"Itu telah dicapai dan saya boleh mengesahkan setelah berbincang dengan Ketua Pegawai Eksekutif MAB, Peter Bellew. Beliau berharap MAB akan kembali untung pada tahun hadapan, Insya-Allah," katanya pada ucapan perasmian ‘livery’ atau rekaan ‘Negaraku’ badan pesawat MAB di Pusat Kejuruteraan MAB di sini hari ini.

Tambahnya, 98 peratus daripada 6,000 kakitangan yang menjalani latihan semula di bawah program tersebut juga telah mendapat kerja.

Najib turut berharap syarikat penerbangan nasional itu akan mendapat penarafan lima bintang menerusi momentum yang dipacu warga MAB.