Malaysia harus meningkatkan lagi usaha untuk menarik kedatangan pelancong dari China.

Menurut Pengarah McKinsey London, Richard Dobbs, meskipun permintaan komoditi dari China menurun, namun peralihan tumpuan kepada sektor pelancongan akan meningkatkan ekonomi Malaysia.

Richard berkata pengguna China menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan penggunaan global.

"Penggunaan masyarakat China semakin meningkat dan mereka menyumbang secara signifikan dalam pertumbuhan penggunaan global.

"Pasaran membangun mempunyai peluang yang besar. Pengguna ini akan menjadi golongan pelancong yang besar.

"Ramalan mendapati terdapat lebih 100 juta perjalanan bakal dilakukan oleh pelancong China dan ini dapat dilihati dalam kebanyakan pasaran membangun," kata Richard.

Menurut laporan Institut Global McKinsey bertajuk Urban World: The Global Consumer To Watch, penggunaan golongan bekerja di bandar dijangka meningkat dari AS$2.5 trilion pada 2015 ke AS$6.7 trilion pada 2030 .

Ini menyumbang kepada 18 peratus daripada jumlah pertumbuhan penggunaan bandar.

"China memainkan peranan penting dalam pertumbuhan penggunaan global. China dijangka menyumbang kepada 30 peratus daripada pertumbuhan penggunaan bandar bagi 15 tahun akan datang dan terdapat dua segmen utama bagi penyumbangan ini.

"Pertama, golongan warga emas di China. Warga emas di China dijangka menyumbang kepada 10 peratus pertumbuhan penggunaan global. Oleh itu, apabila golongan warga emas meningkat, mereka akan lebihkan pembelian produk dan perkhidmatan yang mesra dengan usianya.

"Kedua ialah golongan bekerja. Mereka pula menyumbang kepada hampir 20 peratus pertumbuhan penggunaan global," kata Richard.

Terdahulu, kerajaan memberikan pengecualian visa kepada pelancong China dari 1 Mac ke 31 Disember tahun ini melalui program e-visa.

Program ini dijangka menyumbang kepada kemasukan 2.03 juta pelancong China ke Malaysia tahun ini.