Malaysia dan Jepun telah menandatangani satu memorandum mengenai kerjasama halal untuk membuka jalan bagi lebih banyak peluang perniagaan dalam industri halal di kedua-dua negara.

Perjanjian itu ditandatangani Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Perindustrian Jepun, Hiroshige Seko pada Isnin.

Mohd Redzuan berkata, kerjasama itu memberi isyarat kukuh mengenai kesungguhan kedua-dua negara dalam merealisasikan kerjasama menang-menang.

Menurutnya, ia juga menunjukkan komitmen kedua-dua negara untuk terus membuka pasaran satu sama lain walaupun sentimen perlindungan yang semakin meningkat di pasaran global.

"Platform ini akan menjadi cara paling berkesan dalam mempromosi produk dan perkhidmatan halal Malaysia menggunakan struktur kerajaan ke kerajaan yang betul.

"Ia juga selaras dengan Rangka Kerja Keusahawanan Kebangsaan yang diperkenal baru-baru ini untuk membantu 'mengantarabangsakan' usahawan menerusi platform yang diwujudkan dengan negara lain," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Redzuan kini dalam lawatan kerja tiga hari ke Jepun mulai Ahad.

Sementara itu, Mohd Redzuan berkata, industri halal global berkembang pada kadar yang menakjubkan daripada kira-kira AS$2.3 trilion (AS$1=RM4.19) pada 2012 dan dijangka meningkat hampir tiga kali ganda kepada AS$6.4 trilion tahun ini.

"Tambahan pula, bilangan umat Islam yang semakin meningkat, yang kini merupakan kira-kira 24.4 peratus penduduk dunia, akan memastikan permintaan yang kukuh untuk produk dan perkhidmatan halal," tambahnya.

Sebagai satu daripada inisiatif utama di bawah memorandum itu, Malaysia akan menganjurkan Ekspo Halal mulai 24 hingga 26 Januari 2019 di Kuala Lumpur.

Pameran itu dijangka dirasmikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

-- BERNAMA