Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah meluluskan sebanyak 28,907 projek pembuatan yang bernilai RM1.07 trilion semenjak 1980 hingga 2016.

Dalam satu kenyataan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata projek tersebut telah mewujudkan lebih tiga juta pekerjaan dalam negara.

"Ini telah menggalakkan pembangunan industri lain dan menyumbang kepada pertambahan jumlah pembekal tempatan," kata beliau.

MIDA meraikan ulang tahunnya yang ke-50, mentransformasikan negara pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Azman Mahmud berkata MIDA telah melaksanakan langkah penstrukturan semula dengan menyelaraskan beberapa fungsi bahagian bagi memenuhi harapan pihak yang berkepentingan.

"Kami mahu mengikuti perkembangan kedinamikan ekonomi Malaysia," katanya.

Azman berkata bagi membantu syarikat perusahaan kecil dan sederhana, Unit Pelaburan khas telah ditubuhkan di ibu pejabatnya dan semua pejabat negeri di Malaysia. -- BERNAMA