Sekumpulan usahawan wanita dari Malaysia, yang kini mengunjungi New York untuk mencari kenalan dengan ahli perniagaan tempatan bagi mengeksport produk masing-masing, mendapat sambutan baik dalam kalangan peniaga tempatan untuk menjalankan perniagaan.

Lawatan oleh usahawan wanita, dengan Misi Fesyen dan Perniagaan Malaysia ke New York itu, dianjurkan di bawah naungan usahawan perniagaan Wanita Melayu dari Kuala Lumpur atau lebih dikenali sebagai Peniagawati.

Kumpulan itu yang terdiri daripada 40 wakil dari 25 syarikat, mengadakan pameran mini yang memaparkan produk dan perkhidmatan mereka di premis misi tetap Malaysia ke PBB dengan sokongan pejabat MATRADE New York.

Dalam temu bual dengan Bernama, Datuk Azlin Ahmad Shaharbi, Presiden Peniagawati berkata persatuannya cuba mempromosikan perniagaan syarikat yang menyertai misi itu.

"Ahli kumpulan kami mewakili pelbagai perniagaan, termasuk makanan dan minuman, gaya hidup, perkhidmatan seperti perjalanan dan undang-undang, kosmetik, fesyen, dan lain-lain. Ini adalah perjalanan pertama kami ke New York.

"Tiga pereka fesyen Malaysia mempamerkan ciptaan mereka pada Minggu Fesyen Couture di New York. Persatuan kami kini berusia 37 tahun dan didedikasikan untuk mempromosikan kepentingan usahawan wanita," kata Azlin.

Beliau berkata usahawan wanita memainkan peranan penting dalam ekonomi Malaysia.

"Keusahawanan merupakan kerjaya yang baik memandangkan usahawan wanita boleh menggunakan masa secara fleksibel dan boleh menyesuaikan masa mereka mengikut keperluan keluarga," katanya.

Beliau berkata pejabat MATRADE di New York telah mengaturkan padanan perniagaan bagi anggota kumpulannya dengan pembeli tempatan dan persatuan perniagaan.

Beliau berkata perbincangan dengan pembeli 'sangat menggalakkan'. Kumpulan itu, sebelum ini, membuat kunjungan hormat ke atas Duta Besar Malaysia di Washington DC, Tan Sri Zulhasnan Rafique.

Datuk Shahrul Ikram, wakil tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, turut mengalu-alukan kumpulan Peniagawati dan menekankan bahawa kerajaan Malaysia komited untuk mempromosikan wanita sebagai usahawan.

"Apa yang boleh dilakukan lelaki, wanita boleh berbuat lebih baik!" katanya diiringi tepukan gemuruh bukan sahaja daripada ahli kumpulan wanita itu malah beberapa wanita Amerika yang hadir.

Wakil khas itu juga berkata pejabat MATRADE New York bersedia untuk menyokong persatuan Peniagawati dalam usahanya untuk menyokong usahawan wanita.

Wakil dewan perniagaan New York, persatuan perniagaan dan diaspora Malaysia, turut hadir Datin Sharifah Shawati Syed Mohd, Ketua Eksekutif Adamaya Consultancy

Shawati yang lebih dikenali sebagai pencipta imej dan bukannya pereka fesyen, juga menerbitkan buku gambar 'Your Image is Your Best Asset'.

"Saya mencari kenalan perniagaan pada acara minggu fesyen di New York. Saya terlibat dalam reka bentuk fesyen sejak setahun lepas, dan mahu mengeksport produk saya. Anak-anak muda suka kain songket kami.

"Saya menggabungkan gaya tradisional dan kontemporari. Saya sudah menjual koleksi saya di Malaysia di mana kami juga mempunyai bilik pameran kami sendiri," katanya.

Konsep yang memperluaskan minda yang menarik pada majlis itu disampaikan oleh Datuk Freida Pilus, pengasas Sekolah Cempaka Malaysia, yang berpusat di Kuala Lumpur, sebuah institusi swasta dengan tiga buah kampus yang telah beroperasi sejak 34 tahun lepas.

"Saya membuka sekolah untuk anak-anak lelaki saya dan ingin memberi mereka pendidikan yang terbaik. Mereka kini sudah memiliki profesion yang baik. Saya percaya bahawa seseorang itu perlu terus belajar dan bukan hanya belajar untuk lulus peperiksaan.

"Saya juga mempunyai unit perjalanan yang dikenali sebagai Cempaka Travel Bug, yang mempromosikan perjalanan/pelancongan untuk kanak-kanak dan orang muda, mempromosikan Malaysia dalam kalangan pelajar Amerika dan pelajar universiti.

"Kami menggalakkan komunikasi antara pelajar Amerika dan Malaysia untuk mempromosikan persefahaman dan hormat-menghormati," katanya.

-- BERNAMA