Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) komited membangunkan syarikat teknologi tempatan dengan nilai jualan RM100 juta setahun dan ke atas.

Ini untuk mewujudkan lebih banyak syarikat berteknologi tinggi dengan pekerja berkemahiran serta berpendapatan tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif MTDC, Datuk Norhalim Yunus, yakin hasrat itu mampu direalisasikan menerusi dana lebih RM600 juta diumumkan dalam Rancangan Malaysia ke-11.

Dana tersebut diperuntukkan kerajaan menerusi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Ia merangkumi Dana Pengkomersialan Penyelidikan dan Pembangunan (CRDF), Dana Pengambilalihan Teknologi (TAF), Dana Syarikat Perniagaan Baharu (BSF), Dana Pertumbuhan Perniagaan (BGF) dan Dana Pengembangan Perniagaan (BEF).

"Sekarang, antara sektor yang melonjak maju adalah tenaga hijau. Dalam keadaan dunia sekarang, teknologi tenaga hijau diberi penekanan dan kita ada beberapa syarikat yang bergiat dalam bidang ini dan mereka diseneraikan di Bursa Saham di London.

"Kita juga ada beberapa lagi syarikat yang ingin bekerjasama dengan kami supaya dapat disenaraikan di Bursa Malaysia dalam masa tiga ke empat tahun. Dalam RMK-11, kerajaan memberi kami satu tanggungjawab baru iaitu untuk menguruskan dana untuk pembunganan produk halal di pasaran antarabangsa," kata Norhalim ketika ditemui pemberita di sesi himpunan jaringan MTDC ReUnites 2016 di sini pada Isnin.

Jelas Norhalim, ketika ini terdapat satu syarikat dalam sektor kimia dengan nilai syarikat RM1 bilion yang dijangka disenaraikan di Bursa Malaysia menjelang hujung tahun.

"Berdasarkan syarikat-syarikat yang kita biayai, kita ingin bangunkan portfolio syarikat yang bernilai lebih daripada RM1 bilion sebagai satu sasaran yang ingin kita capai kerana kita juga ingin berkongsi dengan semua para usahawan bahawa MTDC bukan syarikat yang mendapat kos operasinya daripada kerajaan,"

Syarikat dalam sektor minyak dan gas juga antara yang diberi tumpuan susulan beberapa syarikat tempatan telah mengeksport produk ke luar negara.

Sektor makanan dan peralatan perubatan turut diberi penekanan dalam usaha menerokai pasaran eksport.

MTDC ReUnites menghimpunkan kira-kira 200 peserta yang terdiri daripada penerima dana dan pelabur dan ia merupakan platform yang menghubungkan kedua-dua pihak untuk menjalin hubungan strategik bagi mencapai kejayaan dalam perniagaan.

Penerima dana sambut baik usaha dan bantuan MTDC

Usahawan tempatan menyifatkan usaha yang dilakukan MTDC dapat memajukan syarikat tempatan berteknologi tinggi untuk bersaing di peringkat global.

Menurut Pengarah LaDIY Healthcare Romli Ishak, Dana Pengkomersilan Penyelidikan dan Pembangunan (CRDF) Yang diperolehi daripada MTDC membolehkan syarikatnya mengembangkan operasi ke luar negara.

"Ia memberikan peluang untuk kita membina jaringan perniagaan. Di sini ada perniagaan yang sudah matang dan ada yang baru ingin berjinak-jinak. Seperti saya yang terlibat dalam industri peralatan perubatan, kita sentiasa teruja dengan berhubung dengan rakan niaga di luar negara.

"Ada beberapa syarikat yang sudah berjaya menembusi pasaran luar negara dan syarikat saya juga sudah mula melangkah ke luar negara sedikit demi sedikit." kata Romli.

Sementara itu bagi Ketua Pegawai Operasi Archtron Research & Development Sdn Bhd Yap Thiah Huat, jualan syarikatnya meningkat selepas menerima Dana Pertumbuhan Perniagaan (BGF).

"MTDC memainkan peranan yang baik dalam membantu syarikat untuk menyerap atau menyokong sebahagian daripada perbelanjaan modal. Seperti dalam kes saya, MTDC membantu kami dalam fabrikasi acuan yang membolehkan kami mempunyai lebih banyak peruntukan untuk disalurkan kepada aktiviti pemasaran dan promosi.

"Untuk syarikat PKS seperti saya, kita perlukan lebih banyak sokongan daripada kerajaan dari segi subsidi perbelanjaan modal. Kami telah berjaya menggadakan jumlah jualan kami sejak menerima CRDF pada 2007, dan pada hari ini pertumbuhan telah meningkat dua kali ganda sehingga 100 peratus," kata Yap.

Bagi Ketua Pegawai Operasi Norsym Sdn Bhd Noor Fatiah Meor Aris, dengan bantuan MTDC syarikatnya mampu mengkomersialkan secara besar-besaran perniagaan cendawan kukur dan produk pertanian bioteknologi untuk pasaran tempatan.

"Ini merupakan satu peluang amat baik sebagai seorang graduan yang menceburi dalam bidang perniagaan. MTDC mempunyai satu platform yang berkesan dan kukuh untuk pergi jauh.

"Sebagai seorang graduan, kita tidak mempunyai ilmu mengenai perniagaan dan mereka (MTDC) akan memberi kami satu ekosistem di mana semua syarikat yang sudah berjaya akan disatukan dan membantu syarikat permulaan seperti kami untuk pergi lebih jauh," kata Noor Fatiah.

Pembabitan MTDC dalam merancakkan kemampuan usahawan tempatan mampu menyumbang kepada pertumbuhan syarikat yang lebih berdaya saing dan efektif.

Manfaat penjenamaan untuk kuasai pasaran - MOSTI

Dalam pada itu, MOSTI menggesa syarikat berteknologi tinggi untuk memberi tumpuan kepada aspek penjenamaan dalam usaha menembusi pasaran antarabangsa.

Menterinya Datuk Wilfred Madius Tangau berkata, pada masa sama keperluan mempunyai piawaian dan akreditasi yang tinggi dapat memberikan nilai tambah kepada syarikat.

"Berkolaborasi antara satu sama lain juga adalah sesuatu yang setiap usahawan daripada syarikat teknologi ini perlu lakukan untuk menembusi pasaran antarabangsa dan mereka boleh mula dengan rantau ASEAN terlebih dahulu. Sekarang ini juga ada yang sudah disenaraikan di Bursa Saham di London. Ini adalah satu contoh yang baik kepada setiap usahawan di luar sana.

"Apa yang saya nampak di sini, sebahagian besar daripada mereka adalah usahawan yang mengkomersialkan teknologi tinggi dan menarik sekali, teknologi ini dibangunkan oleh penyeledik tempatan sendiri," katanya selepas menghadiri jamuan tengah hari MTDC REUnites 2016 di sini pada Isnin.

Tambah Wilfred, teknologi tenaga hijau terus mendapat perhatian dunia dan merupakan sektor yang mampu menguasai pasaran tempatan jika mempunyai penjenamaan yang efisyen serta mendapat keyakinan daripada pengguna.