Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengingatkan Datuk Seri Najib Tun Razak agar tidak cuba 'bermain' dengan soalan-soalan yang dilihat hanya untuk menyelamatkan diri daripada isu penyusutan wang kerajaan berjumlah RM11.41 bilion.

Tegasnya, beliau tidak akan menjawab 17 soalan Najib selagi bekas Perdana Menteri itu tidak menjelaskan persoalan kehilangan wang berkenaan.

"Itu jelas sekali usaha untuk elak jawab soalan yang saya tujukan. Soalan saya mudah. Kenapa wang yang ditinggalkan kepada kerajaan baru boleh susut daripada RM11.86 bilion pada akhir 2017 kepada hanya RM450 juta iaitu penyusutan sebanyak 96 peratus atau RM11.41 bilion. Beliau tak boleh jawab dan bila tanya, beliau cuba elak dengan kata-kata yang anda patut tahu," katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Tahunan Pemaju Hartanah anjuran REHDA Institute, di sini hari ini.

Malah, beliau juga menegaskan tidak akan menjawab sebarang soalan baharu Najib selagi bekas pemimpin itu tidak boleh membezakan antara Kumpulan Wang Disatukan dengan Hasil Disatukan.

"Mana saya boleh jawab kalau Najib tak boleh bezakan Kumpulan Wang Disatukan dengan Hasil Disatukan. Untuk orang biasa, itu mungkin agak kabur sebab kita bukan menteri dan akauntan tetapi beliau Menteri Kewangan selama 10 tahun, kalau sebulan dua jadi menteri ... saya faham.

"Saya harap Najib jangan cuba main-main soalan supaya elak daripada perkara pokok iaitu kenapa wang boleh kurang begitu banyak iaitu penyusutan sebanyak 96 peratus atau RM11.41 bilion, mengapa beliau tidak faham Kumpulan Wang disatukan dengan hasil disatukan," ujar beliau lagi.

Tambahnya, Kumpulan Wang Disatukan ini tidak bermakna semua lebih RM40 bilion boleh dibelanjakan.

"Dia kena lihat dalam Kumpulan Wang Disatukan ini kena lihat berapa dalam akaun Hasil Disatukan kerana melaluinya (akaun hasil disatukan) baru kerajaan boleh belanja. Orang biasa tidak faham tidak apa, tetapi menteri 10 tahun takkan tak faham," kata beliau.

Justeru, beliau mengingatkan Najib agar fokus dengan perkara yang dibangkitkannya sebelum ini dan tidak cuba lari dari kenyataan.

"Saya rela jawab soalan lain, tetapi selesaikan perkara ini dulu. Kita belum habis dia tanya lagi 17 soalan yang bukan-bukan, nanti dia tanya lagi 36 soalan yang bukan-bukan. Boleh jawab tak perkara pokok ini?," tambahnya.

Najib juga diminta bersikap profesional selaras dengan kedudukannya sebagai bekas Menteri Kewangan

"Sekarang, hanya tinggal kepada kerajaan adalah RM450 juta bukan bilion.. dan ini untuk kerajaan sangat kecil. Gaji bulan pun RM8 bilion sebab itu saya tidak tidur fikir pasal nak bayar gaji dan pencen kakitangan kerajaan," ujarnya.

Najib melalui laman Facebooknya mengemukakan 17 soalan ditujukan kepada Guan Eng agar tidak terus menuding jari terhadap dirinya dalam isu menyentuh hal ehwal ekonomi negara.

BACA: 'Najib, mengaku sahajalah kerajaan dahulu boros!' - Guan Eng

Bekas Perdana Menteri itu mengemukakan soalan itu dengan alasan mahu membantu Setiausaha Agung DAP itu dan orang ramai untuk memahami fakta serta kebenaran mengenai isu berkaitan kewangan negara.

Antara soalan dibangkitkan adalah sejauh mana kebenaran kerajaan hilang RM30 bilion atau lebih, bagi pendapatan tahun ini berikutan pelaksanaan sifar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) selama tiga bulan, serta pengenalan semula subsidi menyeluruh selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei lalu.