Pungutan suara Britain keluar dari Kesatuan Eropah (EU), Brexit, tidak akan menjejaskan YTL Power International Bhd dan unitnya memandangkan perkara berkenaan masih di peringkat awal.

Selain itu, masih tiada petunjuk rasmi dari kerajaan United Kingdom (UK) mengenai langkah seterusnya yang akan diambil susulan pungutan suara tersebut.

Menurut YTL Power dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, dalam keadaan tidak menentu dan situasi semasa yang boleh berubah dengan mudah, ia tidak mampu untuk menilai kesan Brexit terhadap syarikat itu pada ketika ini.

Operasi utama syarikat di UK terdiri daripada keseluruhan pegangannya dalam Wessex Water Ltd, yang menyediakan perkhidmatan air dan pembetungan di wilayah barat daya England di bawah konsesi kawal selia yang diberikan kerajaan UK.

"Wessex Water, disebabkan perniagaan itu bersifat terkawal dan operasi berdasarkan tumpuan geografi dalam lingkungan UK, dijangka tidak terjejas dengan ketara susulan hasil pungutan suara berkenaan," menurutnya.

Menurut YTL Power, ia memantau keadaan itu dan melaksanakan penilaian berterusan bagi sebarang kesan operasi dan kewangan, dan akan membuat pengumuman lanjut pada masa yang sesuai apabila diperlukan.