Kumpulan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mencatatkan penyusutan keuntungan selepas cukai pada suku pertama tahun ini kepada RM736.7 juta berbanding RM1.52 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Penyusutan ini turut disumbangkan kesan luar jangka akibat COVID-19 yang menyebabkan penggunaan elektrik menyusut berikutan penutupan sementara perniagaan bagi mengekang penularan virus tersebut.

"Penggunaan elektrik bagi sektor industri dan komersial menyusut antara 25 hingga 50 peratus berikutan pemberhentian sementara operasi.

"Manakala penggunaan elektrik bagi sektor kediaman melonjak naik antara 20 hingga 50 peratus susulan pematuhan arahan untuk duduk di rumah dan aktiviti bekerja dari rumah," kata kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.

Secara keseluruhan, permintaan elektrik menyusut 1.9 peratus pada suku pertama tahun kewangan 2020 sebelum terkesan secara menyeluruh akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Malah permintaan bagi bulan Mei 2020 turun mencatatkan penurunan 28 peratus berbanding Mei tahun lalu.

Syarikat itu turut menjangkakan penggunaan elektrik akan terus menurun antara tujuh hingga 15 peratus bagi 2020 berikutan kelembapan aktiviti sektor komersial.

Kenyataan itu turut menyebut, selain COVID-19, penyusutan keuntungan itu turut disumbangkan ketidakstabilan ekonomi global dan kerugian tukaran mata wang asing bernilai RM388 juta walaupun jualan elektrik pada tiga bulan pertama tahun ini stabil.

"Jualan elektrik pada tiga bulan pertama tahun ini stabil pada 27,938.2 GWh atau RM11.78 bilion berbanding 28,471.1 GWh atau RM12.03 bilion pada suku pertama 2019," tambah kenyataan itu lagi.

Pendapatan kumpulan turut menyusut 12.0 peratus kepada RM11.65 bilion daripada RM13.24 bilion pada tempoh sama tahun lalu disebabkan pendapatan keseluruhan yang terkesan oleh Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT).