Kerajaan tidak akan mengenakan penalti kepada peniagaan yang gagal mendaftar untuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) selepas tarikh penguatkuasaannya pada 1 September ini, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Namun beliau menegaskan, mereka harus menanggung sendiri cukai itu, dan ia hanya boleh dikutip kembali selepas mereka berdaftar.

“Kita tidak akan hukum mereka (peniaga) dari segi penalti, tapi kena bayar enam peratus atau lima peratus atau 10 peratus yang sepatutnya kena kutip dari pelanggan, mereka kena bayar sendiri.

“Katalah anda mendaftar pada 5 September. Tak ada masalah. Tetapi kadar cukai antara 1 hingga 4 Sept itu anda yang tanggung,” katanya sewaktu memberi taklimat kepada media berhubung pelaksanaan cukai itu.

Guan Eng berkata, setakat hari ini, sebanyak hampir 80,000 perniagaan sudah berdaftar dalam sistem peralihan daripada MyGST ke MySST, dengan 32,577 perniagaan bawah Akta Cukai Jualan manakala 44,874 perniagaan di bawah Akta Cukai Perkhidmatan.

Dalam taklimat yang sama, beliau turut mengumumkan kenaikan kadar had pendapatan tahunan yang dikenakan SST untuk kedai makan dan minuman, iaitu dari RM1 juta kepada RM1.5 juta.

Beliau berkata, kenaikan itu dilaksanakan selepas mengambil kira permintaan para peniaga yang mengatakan ia perlu disebabkan faktor seperti sewa, kos harga barang dan sebagainya.

“Kita yakin bahawa harga barangan baik dekat kedai kopi, mahupun nasi kandar tidak naik, kecuali perniagaan besar lebih RM1.5 juta itu lain cerita,” katanya lagi.

Selain itu, bahan-bahan untuk sektor pembinaan juga dikecualikan daripada SST.

Untuk maklumat lanjut, termasuk perintah pelaksanaan SST, serta barang-barang dan perkhidmatan yang dikecualikan dari cukai itu, orang awam dan peniaga boleh melayari laman web http://mysst.customs.gov.my.