Pejabat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Frankfurt memain peranan penting baru-baru ini dalam mendapatkan syarikat Belgium sama ada melabur dalam projek atau mengukuhkan lagi operasi sedia ada mereka dengan meningkatkan pelaburan di Malaysia.

Belgium dan Belanda, selain Jerman merupakan sebahagian daripada negara yang berada dalam penyediaan khidmat pejabat MIDA di Frankfurt.

"Ketiga-tiga syarikat Belgium ini melihat Malaysia sebagai tapak pelaburan menarik untuk memanfaatkan peluang tersedia bukan hanya di rantau ASEAN tetapi juga di rantau Asia Pasifik bagi asas jangka panjang," jelas S. Sivasuriyamoorthy, Pengarah MIDA dalam satu temu bual dengan BERNAMA.

LHoist, yang menghasilkan kalsium karbonat dan kalsium oksida hiliran dan produk khusus lain, berminat membuka pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi penyelidikan gunaan di Perak.

"Lhoist mahu membuka hab R&D di Asia Tenggara. Kami sangat berminat untuk mendapatkan Lhoist menubuhkan pusat R&D kerana ia akan memantapkan lagi profil teknologi Malaysia dan meningkatkan statusnya sebagai tapak yang dimajukan dengan baik dan menyediakan pelbagai bentuk kelebihan bagi aktiviti berkaitan R&D," kata Sivasuriyamoorthy.

Syarikat kedua ialah Knauf Insulation yang menghasilkan bahan penebat dan membuka operasinya di Johor.

Pengarah MIDA itu berkata Knauf akan menghasilkan rockwool yang digunakan sebagai bahan penebat bagi pembinaan bangunan.

Manakala syarikat ketiga ialah Company Emulco, yang mengkhususkan dalam rawatan permukaan dan produk akhir serta mahu mengembangkan lagi operasinya di Malaysia.

Sivasuriyamoorthy berkata projek pelaburan yang bernilai RM216.5 bilion dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan sektor utama itu telah diluluskan pada 2013.

Lima negara utama yang membuat pelaburan FDI di Malaysia ialah Amerika Syarikat (RM6.3 bilion), Korea Selatan (RM5.4 bilion), Kesatuan Eropah (RM5.1 bilion), Singapura (RM4.5 bilion) dan Jepun (RM3.6 bilion).

Beliau menyifatkan 2013 sebagai "tahun sangat menarik" bagi Malaysia.

"Dengan Asia Tenggara dilihat oleh industri Jerman sebagai rantau pertumbuhan dinamik, Malaysia berfungsi sebagai batu loncatan yang stabil dan kukuh untuk memanfaatkan potensi perniagaan di rantau tersebut," katanya.

Juga, pelabur Jerman menyedari hakikat bahawa Malaysia memeterai sejumlah 12 Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), di mana enam daripadanya merupakan sebahagian daripada perjanjian serantau yang diputuskan secara kolektif oleh negara-negara ASEAN manakala baki enam adalah perjanjian dua hala.

FTA ini, katanya, akan dimanfaatkan oleh syarikat Jerman untuk mendapat akses pasaran yang lebih besar dengan negara-negara yang menandatanganinya.

"Saya secara umumnya optimistik tentang 2014. Kami juga berusaha untuk menonjolkan Malaysia sebagai hab pengedaran semula penting di Asia Tenggara," katanya.