Petronas Dagangan Bhd (PetDag) mencatat keuntungan sebelum cukai lebih memberangsangkan kepada RM335.6 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac, 2017 berbanding RM295.6 juta bagi tempoh sama, tahun lepas.

Hasilnya turut meningkat kepada RM6.69 bilion daripada RM4.91 bilion sebelum ini, didorong oleh kenaikan 43 peratus purata harga jualan berikutan peningkatan harga di penanda aras Mean of Platts Singapore.

Harga jualan itu bagaimanapun, dijejaskan oleh jualan dagangan lebih rendah sebanyak empat peratus, kata penyedia produk petroleum itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Keuntungan operasi kumpulan itu menokok sebanyak RM39.3 juta kepada RM336.1 juta di bawah suku berkenaan berbanding tempoh sama tahun lepas, didorong oleh peningkatan keuntungan operasi segmen runcit dan komersial yang naik masing-masing kepada RM198.80 juta dan RM132.20 juta.

Bagi kemajuan masa depan, PetDag menyifatkan unjuran persekitaran ekonomi dan perniagaan untuk 2017 masih tidak menentu.

"Kumpulan ini akan terus menumpukan aspek bagi kecekapan pengurusan inventori, pembekalan dan pengedaran serta mengoptimumkan perbelanjaan operasi bagi memastikannya kekal berdaya tahan dalam persekitaran mencabar," katanya.

-BERNAMA