Forum Ekonomi Global 2015 (WEF 2015) di Davos yang bermula hari ini menjadi pentas antarabangsa penting bagi melaksanakan strategi Malaysia dalam menyelaraskan ekonomi negara serasi dengan cabaran semasa di peringkat global.

Ini sesuai dengan tema dan pengisian susun atur forum kali ini yang memfokuskan kepada konteks dinamik global baharu.

"Dengan langkah yang diumumkan, InsyaAllah MITI akan merancang tindakan khusus bagi memastikan akaun semasa imbangan pembayaran kita berada dalam keadaan surplus," kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang tiba lebih awal untuk menyusun gerak kerja delegasi Malaysia di Davos.

“Tahun 2014, tahap pelaburan kita baik dan kita mahu mengekalkan keadaan ini dan kita mahu mengadakan promosi dengan lebih agresif," katanya lagi.

Sebagai negara yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka, promosi Malaysia sebagai destinasi pelaburan dan pusat pertumbuhan ekonomi pilihan, dilihat memberi kelebihan ketika suasana global tidak menentu.

Menurut Mustapa, fokus penting usaha Malaysia menarik perhatian pemimpin perniagaan dan pelaburan terkemuka dunia di Davos kali ini ialah dengan menawarkan potensi kemakmuran komuniti ekonomi Asean.

"Tahun ini kita selaku pengerusi Asean. Tahun ini kita nak capai tahap komuniti dengan mengisytihar Asean sebagai satu komuniti, maka kehadiran Perdana Menteri sangat penting sekali.

"Yang pertama, mahu mempromosi atau meningkatkan profil Malaysia. Yang kedua, untuk menekankan peranan Asean dalam ekonomi global."

Delegasi 40 perwakilan Malaysia ke WEF2015 adalah yang terbesar dalam sejarah penyertaan negara, seiring catatan pendaftaran keseluruhan tertinggi WEF ke-45 ini dengan kehadiran 2,800 peserta, 50 pemimpin negara dan 300 menteri.

Mustapa yakin ikhtiar terperinci lengkap dengan pusat aktiviti Malaysia yang menonjol di kawasan tumpuan utama Davos ini mampu membawa pulangan besar kepada negara seperti yang terbukti sebelum ini.

"Davos satu tempat yang menghimpunkan pemimpin dunia, pemimpin politik, pemimpin korporat, pemimpin media, malah beberapa pelaburan yang kita telah berjaya tarik ke Malaysia adalah hasil pertemuan yang diadakan di Davos."

Mustapa memberikan gambaran keseluruhan visi dan misi Malaysia di WEF 2015 ketika bertemu kru Astro AWANI setelah selesai mempengerusikan mesyuarat persediaan delegasi negara di pusat aktiviti Malaysia di Hotel Panorama, di sini.

Kehadiran Perdana Menteri di Switzerland pula bermula malam ini dengan pelbagai acara pertemuan bersama kelompok paling berpengaruh pemimpin perniagaan, negara dan masyarakat sivil dunia, berlangsung sehingga kemuncaknya Jumaat nanti.

Di majlis makan malam Malaysia esok, sambutan kemuncak akan turut menyaksikan Perdana Menteri melancarkan saluran televisyen Go Asean sebagai pemangkin pelancongan Asean dan promosinya kepada dunia.