Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur menerokai sistem hibrid dalam pelan perniagaan, dengan menggabungkan elemen dalam talian dan konvensional.

Pengerusi Majlis Penasihat Anggota Asia Pasifik Pertubuhan Perdagangan Dunia, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata, di samping menjimatkan kos, aktiviti-aktiviti ekonomi seperti seminar, kursus pendek dan latihan dapat digerakkan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti yang disaran.

Menjelaskannya, beliau berkata, ia akan dilakukan dengan menggunakan integrasi teknologi dan menjadikan Malaysia sebagai hab konvensyen secara hibrid di dunia sewaktu pandemik COVID-19 kini.

"Dengan ini, ia memberi keyakinan kepada dunia dan pada masa yang sama akan merancakkan ekonomi Malaysia.

"Ini bermakna kita boleh menganjurkan aktiviti dengan mematuhi SOP ketat dan disertai speaker dari luar negara," katanya dalam sesi webinar bertajuk Asia Pacific WTC Webinar: Vibrant Network yang turut disertai oleh ahli panel dari WTC New York.

Dalam pada itu, Irmohizam berkata, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Persatuan Penganjur dan Pembekal Persidangan dan Pameran Malaysia (MACEOS), sebanyak 1,250 majlis pameran dan konvensyen dibatalkan atau ditangguhkan sejak bulan Februari hingga Mei lalu, yang melibatkan kerugian kira-kira RM1.75 bilion.

"Ia menyaksikan kira-kira 35 peratus daripada industri yang terlibat dengan MACEOS melaksanakan pembuangan pekerja," ujarnya.

Sementara WTC sahaja katanya, merekodkan kerugian hampir RM60 juta.