Masyarakat selalu diperlihatkan dengan kelahiran ekstremis dalam kalangan penganut setiap agama, yang bertindak ganas terhadap penganut dan agama lain.

Lain pula situasinya di Melbourne, Australia apabila masyarakat beragama Kristian menjemput umat Islam berbuka puasa di sebuah gereja yang dikenali sebagai Church of All Nations.

Media tempatan melaporkan, azan Maghrib turut berkumandang di dalam gereja tersebut sebagai penghormatan dan memperingati majlis berbuka puasa komuniti Islam di Melbourne yang telah diadakan di gereja mereka.

Salah seorang daripada komuniti Islam di situ melaungkan azan sambil berdiri menghadap arah kiblat, namun secara kebetulan ia berdepan dengan kedudukan salib besar di gereja berkenaan.

Komuniti Kristian sama-sama komuniti Islam berbuka puasa di dalam gereja. - Facebook / Ches Al-Maliki

Sebelum makan malam dihidangkan, tetamu Muslim dialu-alukan untuk menunaikan solat Maghrib terlebih dahulu di ruangan yang telah disediakan, tanpa mempunyai tanda salib.

Imam kelahiran Turki, Sheikh Mahmud Kurcu mengucapkan terima kasih atas jemputan tersebut dan berpendapat bahawa setiap agama haruslah saling membantu.

“Aktiviti seperti ini akan mencapai matlamat utama kita, bukan sahaja mempunyai sikap bertolak ansur malah penerimaan terhadap agama lain.

“Walaupun terdapat perbezaan antara kami tetapi kami tetap harus saling membantu,” tambah Mahmud.

Beliau juga menjelaskan bahawa setiap kali insiden buruk berlaku yang melibatkan umat Islam, kebiasannya pihak gereja akan menghulurkan bantuan terlebih dahulu.

Bagaimanapun, Mahmud memberitahu bahawa pada tahun hadapan gilirannya pula untuk menjemput mereka berbuka di masjid.

Keharmonian antara agama menjadi objektif pertemuan yang dianjurkan di Church of All Nations ini. - Komuniti Kristian sama-sama komuniti Islam berbuka puasa di dalam gereja. - Facebook / Ches Al-Maliki