SADEK Ali Hassan ialah seorang guru berusia 44 tahun yang hidup di Malaysia. Beliau adalah juga seorang Rohingya. Sadek hidup suku abad di luar tanahairnya. Ketika saya bertemu beliau di sebuah madrasah kecil dan buruk yang beliau dirikan untuk komunitinya di Ampang, sebuah kawasan pinggiran bandar di Selangor, beliau keberatan untuk bercakap mengenai masa lalunya.

Bagaimanapun, sepanjang perbualan kami, ingatan pada kampungnya - Taung Pyo Let Yar - berdekatan sempadan Bangladesh/Myanmar di Rakhine kembali melanda fikirannya.

"Keluarga saya adalah tuan-tuan tanah. Bapa saya sendiri ada lebih 16 ekar tanah. Kami menanam padi, cili, kobis, kentang, tomato, tembakau, terung, labu --- tetapi tanaman paling untung ialah daun sirih dan biji pinang. Terdapat banyak buah-buahan --- pisang, kelapa dan nangka. Malah kami juga ada kolam ikan."

"Kehidupan saya sempurna. Saya pergi ke sekolah dan pada waktu malam, kami bermain dengan kanak-kanak jiran kami. Saya suka sekolah. Kami diajar dalam bahasa Burma tetapi kami juga belajar bahasa Inggeris. Setiap pagi kami pergi ke masjid untuk kelas agama dan kemudian kami berpindah ke sekolah kerajaan, dan kemudian kembali ke masjid semula. Bahasa Inggeris ialah mata pelajaran kesukaan saya."

Keadaan nyaman ini tidak berkekalan. Pada tahun 1988 ketika demonstrasi pro-demokrasi melanda Myanmar, daerahnya di negeri Rakhine turut menyertai tindakan protes itu. Dalam masa setahun, pasukan keselamatan sempadan baharu muncul di kampungnya. Dengan berpangkalan di situ, mereka mula mengerah penduduk tempatan dan memaksa mereka menyertai kumpulan-kumpulan kerja.

Sadek Ali Hassan, 44, pelarian Rohingya yang telah tinggal di Malaysia selama 14 tahun. Foto Karim Raslan

"Saya adalah seorang pemimpin pelajar, aktivis, jadi saya selalu kena tahan. Salah satu hukuman yang sering dikenakan pada saya ialah 'motosikal' -- iaitu saya perlu berdiri selama dua ke tiga jam seolah-olah saya duduk di atas sebuah motosikal khayalan dengan kaki saya bengkok serta tangan mendepa, dan bersuara dengan bunyi enjin. Jika saya berdiri, saya ditendang. Jika saya berhenti berbunyi, saya ditampar. Jika saya turunkan tangan, saya ditumbuk."

Bila keadaan bertambah buruk, Sadek sedar bahawa beliau perlu meninggalkan Myanmar. "Saya tinggal bertahun-tahun di sana, walaupun dipukul-pukul tetapi satu hari saya tersentap. Ketika itu saya berada di sebuah bazaar Ramadan. Seorang lelaki di sebelah saya memesan sebiji bagula, (kuih tepung goreng) untuk berbuka puasa. Sejurus kemudian, seorang lelaki beragama Buddha datang dan merampas kuih itu. Mereka bekelahi. Di situ ialah sebuah kampung orang Islam dan sudah tentu orang ramai membantu orang Islam itu. Tidak lama kemudian, orang Buddha itu lari ke sebuah pos keselamatan berhampiran."

"Tidak lama selepas itu, pengawal keselamatan yang lain datang. Mereka menembak ke arah orang ramai. Saya lihat sebutir peluru menembus pinggang seorang lelaki dan kemudian mengenai dada lelaki yang lain. Dua orang, satu peluru. Saya lari pada keesokannya. Hari itu ialah 9 Januari 1995, hari jadi saya".

Pada hari yang ditakdirkan itu, setelah dengan teliti menghimpun semua wang daripada jualan hasil ladang, beliau menyeberangi sempadan ke Bangladesh bersama tujuh kawan yang lain.

"Saya ketakutan, tetapi saya rasa saya akan menempuh hidup baharu."

"Pada masa itu, kami adalah antara orang Rohingya yang awal sampai ke Bangladesh. Masa itu tidak ada kem. Selepas saya pergi, pihak berkuasa tentera datang pada bapa saya. Mereka menahannya untuk selama seminggu, selepas itu beliau terpaksa melaporkan diri setiap hari dengan memberi mereka rasuah kecil --- seekor ayam, sedikit arak. Dalam masa sebulan, beliau tahu beliau juga terpaksa lari. Beliau tidak akan mampu untuk terus memberikan 'hadiah.'

Seramai 103 kanak-kanak Rohingya belajar di Akademi Darul Eslah di Ampang. Foto Karim Raslan

Sadek adalah seorang yang praktikal. Setelah bertahun-tahun bergerak -- mengatur dan menulis mengenai kegiatan orang Rohingya dan berulang-alik antara Bangladesh, India dan Thailand, beliau akhirnya sampai di Malaysia pada tahun 2006. Sekolahnya yang mempunyai 103 kanak-kanak merupakan penampilan harapan yang berani dan kesungguhan bagi segolongan bangsa yang kian menjadi orang Palestin di Asia Tenggara.

"Sekarang terdapat lebih 5,000 orang Rohingya di Ampang. Banyak anak-anak mereka sudah tercicir dalam pendidikan. Sekurang-kurangnya di sini mereka boleh belajar membaca dan menulis. Pada sebelah pagi mereka mengikut sukatan pelajaran Malaysia dengan diikuti kelas-kelas agama pada sebelah petang."

"Saya mahukan mereka mempunyai masa depan. Saya mempunyai kepentingan langsung dalam semua ini kerana saya ada empat anak kecil. Saya mesti tidak putus harapan walaupun adakalanya dirasakan begitu berat. Kami mempunyai anak-anak yang boleh menjadi jurutera, doktor dan hakim tetapi mereka memerlukan sebuah tanahair.

"Saya berterima kasih pada kerajaan Malaysia kerana menyediakan tempat untuk kami hidup. Tetapi saya rasa seperti saya dalam penjara terbuka. Saya boleh makan dan tidur di sini. Saya boleh hidup, tetapi saya tidak boleh pergi ke mana-mana. Kami seperti banduan yang menjalani hukuman yang berpanjangan... kami tidak tahu berapa lama kami terpaksa hidup seperti ini, 2 tahun, 10 tahun, 20 tahun. Kami tidak tahu."

"Saya masih berharap pada satu hari kami akan pulang. Bila? Saya tidak tahu. Kekerasan bertambah buruk dan bilangan pelarian terus meningkat...Ini berada di luar kemampuan saya. Ia berada pada ketentuan Tuhan."

Terdapat lebih 5,000 warga Rohingya tinggal di Ampang, Selangor. - Foto Karim Raslan

Sewa, makanan dan kos lain untuk sekolah mencecah RM8,000 sebulan, tetapi Sadek hanya dapat menampungnya dengan RM4,000. Keadaan sekolah itu kelihatan mencabar -- ada kelas diadakan di dapur kerana kekurangan ruang.

Ekoran kebakaran sekolah tahfiz di Malaysia yang membunuh 23 orang, saya tentunya prihatin terhadap risiko pada persekitaran yang sesak itu. Walaupun madrasah itu bukanlah sekolah berasrama seperti dalam kejadian itu, bahaya tetap ada.

"Kadangkala, ada orang perseorangan menghulurkan derma. Tetapi apa yang kami perlukan ialah sesuatu yang boleh terus menampung perbelanjaan kami. Saya masih belum membayar guru-guru saya untuk berbulan-bulan lamanya. Termasuk dia" --- sambil menuding pada anak saudaranya.,

"Jika tidak kerana mereka bekerja tanpa gaji, sekolah ini terpaksa ditutup bertahun dulu."

Kanak-kanak di Akademi Darul Eslah belajar tentang rukun Islam termasuk cara mengerjakan solat. Foto Karim Raslan

Apabila saya tanya bagaimana beliau boleh begitu menaruh harapan, beliau jawab: " Jika saya tidak memberi mereka pendidikan, mereka tidak akan memiliki apa-apa. Kami mesti bercita-cita untuk kembali ke tanahair sendiri. Saya hanya mahu memberikan mereka satu sinar harapan, supaya sekurang-kurangnya mereka boleh menulis kisah mereka sendiri. Dari segi agama, saya mahukan mereka sekurang-kurangnya faham mengenai halal dan haram. Jika saya tidak memikul tanggungjawab ini, akan sampai masanya yang mana saya akan berdepan dengan soalan: Apakah yang saya lakukan untuk kemanusiaan?"

Perbualan kami diganggu dengan sekumpulan kanak-kanak menyerbu masuk ke bilik, menarik baju Sadek, untuk mendapatkan perhatiannya. Kira-kira 2,000 km dari Rakhine, sekolah ini menjadi salah satu tempat yang tidak berapa ada di dunia ini, yang membolehkan anak-anak Rohingya untuk menjadi kanak-kanak saja.


Nota: Ikuti Karim Raslan di twitter @fromKMR dan Instagram fromkmr