Arab Saudi pada Isnin mengumumkan penutupan sementara Qatif, wilayah pengeluaran minyak terletak di timur negara itu, selepas 11 kes positif COVID-19 dikesan di kawasan terbabit.

Kementerian Dalam Negeri bagaimanapun memberitahu, penutupan itu tidak akan menjejaskan pengeluaran minyak negara berkenaan.

Selain itu, kerajaan turut mengeluarkan arahan untuk menutup sekolah dan universiti untuk satu tempoh sehingga arahan susulan dikeluarkan.

Menteri Pendidikan, Hamad Al-Sheikh mengarahkan sesi pembelajaran diadakan secara jarak jauh sepanjang penutupan itu.

Terdahulu, Arab Saudi mengeluarkan arahan sekatan perjalanan ke Iran yang sehingga kini telah mencatatkan lebih 200 kematian akibat wabak berkenaan.

Pihak berkuasa tempatan sebelum ini memberitahu mereka yang dikesan positif COVID-19 itu adalah antara yang mempunyai sejarah perjalanan ke Iran atau mempunyai kontak rapat dengan individu yang melawat republik itu.

Negara itu turut menggantung ibadat umrah dan menjalankan kerja-kerja pembersihan termasuk di Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah.

BACA: COVID-19: Arab Saudi sekat kemasukan rakyatnya ke Kota Mekah

BACA: Arab Saudi dan Iraq umum kes pertama COVID-19

Wabak tersebut mula dikesan di Wuhan, China hujung tahun lalu sudah merebak ke lebih 70 negara termasuk Malaysia dan Singapura.