Presiden Filipina, Rodrigo Duterte mengarahkan syarikat penerbangan Filipina dan Cebu Pacific menyediakan penerbangan untuk membawa pulang lebih 2,000 warganya yang kini berada di Kuwait.

Keputusan itu dibuat Duterte selepas Kementerian Pekerja Filipina mengesahkan ribuan pekerja terbabit bersetuju untuk pulang susulan kejadian penderaan di negara itu.

"Kami telah dimaklumkan oleh 2,200 pekerja terbabit bahawa mereka bersedia untuk pulang ke tanahair," jelas Setiausaha Kementerian Pekerja, Silvestre Bello III yang turut memaklumkan terdapat antara pekerja terbabit telah tinggal lebih masa.

Katanya, kesemua penerbangan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Filipina dan hampir 500 pekerja dijangka tiba tidak lama lagi.

Tambahnya, kerajaan Filipina akan membantu kesemua pekerja terlibat untuk mendapatkan pekerjaan di negara itu.

Pada Januari, Filipina telah menggantung penghantaran pekerja ke Kuwait selepas beberapa laporan penderaan ke atas pekerja dilaporkan sehingga ada di antara pekerja yang membunuh diri.

Menurut Duterte, penggantungan penghantaran terbabit adalah muktamad dan akan dikekalkan sehingga diberitahu kelak.

Sementara itu pada Februari, Timbalan Menteri Luar Kuwait, Khaled al-Jarallah menzahirkan rasa terkejut dan sedih susulan kenyataan yang dibuat Duterte.

Jelasnya, proses perundangan telah diambil ke atas individu bertanggungjawab menyebabkan kematian empat pekerja warga Filipina di Kuwait.

Dianggarkan lebih 250,000 pekerja warga Filipina berada di Kuwait dalam pelbagai sektor pekerjaan.

Selain Kuwait, warga Filipina turut dilaporkan berada di Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi dan Qatar.