Emirates Airlines mengarahkan 100,000 kakitangannya untuk mengambil cuti tanpa gaji secara bergilir selepas syarikat penerbangan Dubai itu melaksanakan pembatalan penerbangan ke negara luar susulan penularan wabak COVID-19, lapor Channels News Asia.

Emirates membatalkan semua penerbangan ke beberapa buah negara terjejas termasuk Iran, Bahrain dan China dan beberapa lagi negara lain yang mengenakan sekatan ke atas pelancong luar.

“Memahami keadaan sumber tambahan yang masih ada dan kakitangan yang memohon cuti, kami telah memberi pilihan kepada kakitangan untuk mengambil cuti tanpa gaji selama sebulan ketika ini,” kata Ketua Pegawai Operasi, Adel al-Redha dalam satu kenyataan pada Selasa.

Channel News Asia turut melaporkan, konsert dan majlis-majlis rasmi anjuran pusat transit penerbangan itu juga ditangguhkan dan dibatalkan susulan penularan wabak COVID-19.

Kumpulan syarikat penerbangan terkemuka dunia itu mempunyai lebih 100,000 kakitangan termasuk 21,000 krew kabin serta 4,000 juruterbang seperti yang direkodkan pada penghujung Mac 2019 iaitu tahun kewangan berakhir.

Emiriyah Arab Bersatu mencatatkan 21 kes jangkitan COVID-19 bersama lima kes yang telah pulih.

BACA: UAE: Dua pesakit COVID-19 pulih, enam kes baharu dilaporkan

BACA: UAE muncul negara terbaharu kesan kes koronavirus