Sekurang-kurangnya empat maut dalam kejadian letupan di sebuah bangunan di Leicester, United Kingdom.

Menurut polis, letupan itu turut memusnahkan sebuah kedai serbaneka dan sebuah rumah berdekatan.

Tambahnya sekurang-kurangnya enam tercedera dalam insiden itu di mana empat daripada mereka masih dirawat hospital.

"Kami percaya masih ada mangsa lain yang belum ditemui dan operasi mencari dan menyelamat kini giat dijalankan," kata jurucakap polis Leicestershire, Shane O'Neill.

Satu letupan terjadi di bandar raya Leicester di England, memusnahkan sebuah kedai serbaneka dan sebuah rumah pada Ahad.

Polis Leicestershire yang menyiasat laporan kejadian yang berlaku di Hinckley Road itu menyifatkannya satu insiden besar.

"Pada peringkat ini, tiada indikasi yang menunjukkan kejadian ini berkaitan dengan pengganas," kata pihak polis.

Gambar dan video yang dimuatnaik di Twitter menunjukkan api menjulang di udara dari kawasan kebakaran yang musnah dijilat api.

"Semua perkhidmatan kecemasan sedang menguruskan kes ini," kata pihak polis dalam satu kenyataan. "Tolong elakkan kawasan tersebut."

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Leicestershire, enam jentera bomba dihantar ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat.

Jurucakap jabatan itu berkata operasi masih sedang dijalankan dan belum pasti jika terdapat mangsa yang cedera atau terperangkap.

Memetik laporan BBC.com, seorang saksi yang tinggal berdekatan berkata: "Saya mendengar letupan yang menggegarkan rumah. Kami nampak api membara.

"Terdapat beberapa kedai di sana dan dikelilingi kawasan perumahan."