Malaysia, Indonesia dan Filipina telah mengulangi komitmen kerajaan masing-masing untuk menangani dengan berkesan cabaran sedia ada dan cabaran rentas sempadan yang baru muncul serta ancaman yang berpotensi menggugat kestabilan dan kesejahteraan negara-negara di rantau itu.

Ketiga-tiga negara juga akan mengkaji untuk meningkatkan kerjasama dalam menangani ancaman keganasan dan ekstremisme yang dihadapi rantau ini.

Perkara ini terkandung dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Malaysia selepas mesyuarat tiga hala menteri luar Malaysia dan Indonesia serta setiausaha hal ehwal luar Filipina di Manila pada Khamis.

Mesyuarat itu dihadiri oleh Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi dan Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Alan Peter S. Cayetano.

"Para menteri menimbulkan kebimbangan terhadap insiden keganasan dan ekstremisme di negara masing-masing baru-baru ini dan mengulangi hasrat untuk bekerjasama bagi membangunkan dan melaksanakan langkah-langkah serta strategi bagi memerangi keganasan secara bersama," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata, para menteri telah membincangkan dan bersetuju ungtuk menugaskan pegawai kanan mereka untuk mempertimbangkan Pelan Tindakan, termasuk menggalakkan pembangunan sosial dan ekonomi khususnya di kawasan bersempadan ketiga-tiga negara dan menyekat aliran pembiayaan pengganas.

Pelan Tindakan itu, yang perlu dilaporkan dalam mesyuarat akan datang dijadual diadakan di Indonesia pada Oktober tahun ini, juga termasuk meningkatkan usaha dan kerjasama dalam menangani punca masalah itu dan mengenal pasti punca yang mencetuskan tindakan ekstremisme.

Di samping itu, para menteri mengulangi pandangan yang dikongsi bersama bahawa kejayaan dalam menangani ancaman rentas sempadan secara berkesan hanya boleh dicapai melalui pembangunan strategi yang efektif, kerjasama dalam keselamatan dan perisikan pada skala serantau.

-- BERNAMA