Dua lelaki ditangkap pihak berkuasa Singapura kerana membakar bunga api di kawasan Little India di republik itu.

Portal berita Channel NewsAsia melaporkan, suspek berkenaan yang masing-masing berusia 29 dan 48 tahun, ditangkap selepas polis mengesan bunga api itu di Gloucester Road kira-kira menjelang tengah malam pada Selasa.

Dalam sebuah video yang dimuat naik di laman Facebook SG Road Vigilante, bunyi dentuman kuat bunga api itu didengari penduduk di sekitarnya dan berlarutan selama lebih daripada seminit.

Anggota polis kelihatan berlari ke arah lokasi berkenaan.

Sehingga kini, siasatan sedang dijalankan, dan jika didapati bersalah, kedua-dua suspek berdepan hukuman denda antara S$2,000 hingga S$10,000 (RM6,070 - RM30,345) dan penjara sehingga dua tahun.

Pengharaman bunga api di Singapura dikuatkuasakan di bawah Akta Bunga Api Berbahaya 1972.

Pengecualian hanya diberikan untuk acara-acara tertentu dengan langkah-langkah keselamatan diambil kira.