Keadaan jerebu akibat kebakaran hutan di Indonesia bertambah teruk dan menjejaskan kualiti udara di daerah Hatyai di selatan Thailand dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat.

Berikutan itu, Pejabat Kesihatan Awam Wilayah Songkhla hari ini mengedarkan 5,000 topeng muka percuma kepada penduduk dan pelancong di pusat pelancongan itu.

Setakat pukul 4 petang (waktu tempatan), data yang diperoleh daripada Jabatan Kawalan Pencemaran Thailand menunjukkan Hatyai mencatatkan bacaan IPU pada 106 manakala tiga kawasan berada pada tahap sederhana iaitu Sateng di Yala (80), Ban Khuan di Yala (73) dan Bang Nak, Narathiwat (55).

Jurucakap Pejabat Kesihatan Wilayah Songkhla berkata jerebu berikutan kebakaran hutan di beberapa wilayah di Indonesia telah menyebabkan kualiti udara di wilayah itu merosot sejak tiga hari lepas.

"Berikutan jerebu, kami menasihatkan orang ramai khususnya kanak-kanak, orang tua dan mereka yang menghidap penyakit pernafasan dan mudah terjejas berikutan jerebu agar sentiasa berada dalam bangunan manakala mereka yang terpaksa berada di luar agar memakai topeng muka," katanya ketika dihubungi.

Seorang penduduk Hatyai, Jirawadee Siri semasa ditemui berkata jerebu di daerah berkenaan telah berlanjutan selama beberapa hari dan paling ketara pada waktu pagi dengan jarak penglihatan agak rendah.

Sementara itu, Pejabat Kesihatan Awam Wilayah Songkhla turut menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka selain sentiasa menutup pintu dan tingkap.

-- BERNAMA