POLIS menemukan rangka seorang wanita dipercayai meninggal dunia 15 tahun lalu di dalam apartmen miliknya di Madrid, Sepanyol.

Menurut pihak berkuasa, mereka menerima laporan ‘kehilangan’ wanita berkenaan pada Jumaat daripada anak buah mangsa yang turut menggesa pihak polis memecahkan pintu apartmen tersebut.

Polis kemudiannya menjalankan siasatan terhadap jiran-jiran berdekatan sebelum mengambil keputusan untuk memecah masuk apartmen berkenaan, pada Selasa.

Setelah itu, polis dikejutkan dengan penemuan rangka wanita tersebut di dalam bilik mandi.

Mangsa yang dikenali sebagai Isabel dipercayai meninggal dunia kira-kira 15 tahun lalu pada usia 78 tahun.

Agensi berita Europa Press melaporkan jiran-jirannya memberitahu kali terakhir mereka melihat warga emas itu adalah pada September 2004.

Malah, mereka juga mendakwa pernah memanggil polis beberapa kali kerana terhidu bau busuk dari apartmen itu, namun tiada sebarang tindakan lanjut diambil.

Menurut jiran, polis menganggap bau busuk berkenaan berpunca daripada sampah yang tidak dibersihkan ketika penghuni keluar rumah.

Mangsa dikatakan tinggal bersendirian di apartmen tersebut sejak kematian suaminya. Dia juga tidak mempunyai anak, lapor media tempatan.

Laporan bedah siasat menunjukkan punca kematian tidak membabitkan pihak ketiga.