Bagaimana agaknya jika kehidupan di muka bumi ini tiada lagi bunyi serangga atau kelibat spesies itu? Sebenarnya kemungkinan itu boleh, dan sedang berlaku.

Satu kajian yang dilakukan oleh pakar dari University Of Sydney Australia mendapati bahawa kehidupan serangga ketika ini dilaporkan merosot dengan mendadak di seluruh dunia, sekali gus mengancam ekosistem semula jadi.

Analisis menunjukkan lebih daripada 40 peratus spesies serangga kini menunjukkan trend penurunan, manakala satu pertiga daripadanya berada dalam kategori terancam. Kadar kepupusan pula adalah lapan kali ganda lebih pantas daripada mamalia, burung dan reptilia.

Kajian yang dilakukan Francisco Sanchez Bayo itu merumuskan jumlah serangga secara keseluruhannya susut sehingga 2.5 peratus setahun, dan sekiranya trend ini berterusan, semua serangga dijangka pupus dalam tempoh satu abad jika kadar penurunan sekarang ini berterusan.

Penurunan ketara ini dicatat berlaku di beberapa negara termasuk Puerto Rico dan Jerman.

Terdapat beberapa faktor yang dikenal pasti mungkin menyebabkan penurunan tersebut, seperti cara manusia menghasilkan bekalan makanan selain gangguan habitatnya ketika ini.

Harus diingat bahawa serangga banyak memberi manfaat kepada manusia dalam ekosistem kehidupan dan tentunya kehilangan fungsinya mampu menjejaskan kehidupan manusia sejagat.

"Ia sangat pesat. Dalam 10 tahun, anda akan mempunyai lebih suku peratus daripada jumlah keseluruhan yang kurang. Dalam 50 tahun hanya tinggal separuh, dan dalam 100 tahun anda tidak akan mempunyai serangga lagi di dunia ini," kata Bayo.