Kata pepatah, kasihnya ibu membawa ke syurga. Anak yang dikandung dikendong bagai menatang minyak yang penuh.

Namun berbeza sama sekali dengan apa yang berlaku di Thailand apabila seorang wanita dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan membabitkan anak kandungnya sendiri.

Kamonchat Rattaphan, 51, ditahan selepas dipercayai menjadi dalang pembunuhan Kanokphong, lelaki yang dikandung dan dibelai dengan penuh kasih sayang 31 tahun lalu, lapor Bangkok Post.

Dalam kejadian pada 21 November di Trang, wilayah Huai Yot, Thailand hujung tahun lalu, Kanokphong ditembak mati dalam satu kes yang menimbulkan banyak keraguan.

Pada mulanya siasatan awal mengetepikan pembabitan Kamonchat apabila tiada siapa percaya wanita itu terlibat dalam pembunuhan anaknya.

Namun, tanggapan itu berubah sama sekali apabila siasatan mulai menjurus kepada pertelingkahan dua beranak ini berhubung penjualan tanah pusaka suami Kamonchat, ayah Kanokphong.

Polis dimaklumkan tentang pergaduhan Kamonchat dengan anaknya hingga hampir menyebabkan kecederaan pada wanita itu.

Kamonchat, yang berkahwin semula selepas kematian ayah Kanokphong didakwa mahu menjual tanah peninggalan itu namun dihalang anaknya.

Berang dengan tindakan anaknya itu, Kamonchat dikesan berhubung dengan kumpulan pembunuh upahan di Phatthalung untuk menamatkan riwayat zuriat yang pernah dikandungnya itu.

Susulan itu, lima suspek ditahan bersama Kamonchat Selasa lepas.