Kes positif COVID-19 di Indonesia berterusan meningkat kepada 97,286 kes, iaitu tambahan 1,868 kes baharu dalam tempoh 24 jam.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 49 lagi kematian dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan kematian di republik itu kini 4,714 orang.

Mengikut data terkini yang disiarkan di laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, www.covid19.go.id, sebanyak 54,752 pesakit masih dalam pemantauan COVID-19.

Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 1,572 orang, diikuti Jakarta (755), Jawa Tengah (554), Sulawesi Selatan (293) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

Provinsi Jawa Timur juga mencatatkan kes positif keseluruhan tertinggi iaitu 20,256 kes, diikuti Jakarta (18,741) dan selebihnya di 32 provinsi yang lain.

-- BERNAMA