Peningkatan kes bunuh diri dalam kalangan warga emas di Singapura yang berusia 60 tahun ke atas meninjukkan rekod yang membimbangkan.

Statistik yang didedahkan organisasi bimbingan sosial, Samaritans of Singapore (SOS) itu menunjukkan catatan 129 kes bunuh diri paca tahun lalu bagi golongan usia tersebut, iaitu yang tertinggi sejak tahun 1991.

Jumlah itu membentuk 36 peratus daripada 361 kes bunuh diri keseluruhannya di republik itu pada tahun 2017.

Pada tahun 2016, 123 kes warga emas membunuh diri dilaporkan.

“Kes warga tua yang memilih untuk membunuh diri sebagai jalan tunggal mengakhiri derita dan kepayahan mereka, adalah sangat membimbangkan. Sedangkan mereka sepatuitnya menikmati usia emas mereka,” kata Pengarah Eksekutif SOS Christine Wong.

Laporan SOS turut menyatakan, populasi yang semakin tua di Singapura bakal membawa lebih banyak cabaran kepada perkhidmatan sokongan sosial.

“Terdapat keperluan yang lebih kukuh bagi rangkaian sokongan memandangkan penduduk warga tua yang tinggal bersednirian di Singapura semakin bertambah,” ujar kenyataan SOS.

Tambah laporan itu lagi, warga tua di republik tersebut berdepan kesulitan hidup seperti berasa terpisah daripada jaringan sosial, bimbang diri menjadi beban kepada keluarga dan rakan-rakan, dan kemerosotan kualiti hidup seharian kerana cabaran fizikal serta mental.

Kesemua kebimbangan tersebut, jika tidak dikenal pasti dan dibimbing, akan membawa kepada kemurungan dan keinginan untuk membunuh diri.