Kementerian Kesihatan Singapura mengesahkan seorang lelaki berusia 69 tahun yang baru pulang melancong dari Wuhan, China telah disahkan menghidap radang paru-paru yang dibimbangi berpunca dari jangkitan virus Wuhan, pada Khamis.

"Lelaki terbabit sedang menjalani rawatan dan pemeriksaan lanjut sebagai langkah berjaga-jaga," kata seorang jurucakap kementerian.

Siasatan lanjut kini sedang dijalankan untuk menentukan sama ada penyakitnya itu ada kena mengena dengan virus Wuhan yang telah mengorbankan nyawa di China.

Keadaan lelaki warganegara Singapura tersebut juga dilaporkan dalam keadaan stabil buat masa ini.

Dia merupakan mangsa ketiga yang disyaki dijangkiti virus tersebut di Republik itu.

BACA : China laporkan kematian pertama jangkitan pneumonia Wuhan

BACA : Thailand umum kes 'pneumonia Wuhan' pertama di luar China

Dua mangsa pertama adalah seorang kanak-kanak berusia tiga tahun dan seorang lelaki berusia 26 tahun, kedua-duanya warga negara China.

Sementara itu dalam perkembangan terbaharu, dilaporkan mangsa kedua kes 'pneumonia Wuhan' telah pun meninggal dunia di China.