Umat Islam di Myanmar menerima kuntuman mawar putih daripada aktivis yang beragama Buddha sebagai pemberian sempena sambutan Aidilfitri di Yangon, pada Rabu.

Semangat solidariti itu adalah sesuatu yang amat jarang dipamerkan di negara berkenaan terutamanya apabila masyarakat Islam di situ sering menjadi mangsa hinaan dan kutukan.

Menurut laporan AFP, pasukan aktivis berbaris di luar masjid di daerah Dargah, timur Yangon sambil memberi bunga yang bertujuan menggalakkan masyarakat Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Pada minggu sebelumnya, sekumpulan perusuh bertindak menghalang masyarakat Islam di daerah itu menunaikan solat terawih.

Seorang penduduk, Tin Myint, 42 tahun, berkata, tindakan memberi bunga itu mampu membantu meningkatkan kembali semangat dalam kalangan komuniti Islam.

“Sebahagian besar komuniti Buddha di sini sangat membantu melindungi kami,” katanya.

Terdahulu, kempen mawar putih itu bermula sejak tiga minggu lalu selepas 200 perusuh anti-nasionalis muncul di tiga lokasi dan menghalang umat Islam di daerah itu menunaikan solat terawih.

Beberapa hari selepas itu, pihak polis mengawal keselamatan sepanjang solat terawih selain berjaya membuat tangkapan.

Barisan aktivis yang terdiri daripada 100 orang itu tampil memberikan 15,000 kuntum mawar putih kepada komuniti Islam di 23 lokasi berbeza sepanjang Ramadan.

Terdapat hampir tiga ke empat peratus komuniti Islam di Myanmar, negara yang majoritinya menganuti agama Buddha.

Tindakan keras tentera 2017 memaksa sejumlah 740,000 umat Islam Rohingya melarikan diri ke negara jiran, Bangladesh.