Pihak berkuasa Filipina berhempas pulas untuk menyalurkan bantuan ke kawasan terjejas akibat taufan Haiyan yang mengganas sejak Jumaat lalu.

Sehingga kini, lebih 10 ribu orang menjadi korban di bandar Tacloban sahaja gara-gara Haiyan.

Manakala beratus-ratus lagi menjadi mangsa di bandar-bandar lain di Filipina selain beratus-ratus ribu orang kehilangan tempat tinggal.

Amukan Haiyan di Filipina menyebabkan rumah musnah, sekolah ranap dan lapangan terbang di Tacloban terjejas.

Petugas bantuan masih belum berjaya memasuki beberapa kawasan yang terjejas teruk terutamanya di kampung di mana bekalan elektrik terputus sejak taufan melanda.

Di beberapa kawasan terjejas lain, taufan mengakibatkan tiada bekalan air bersih dan bekalan makanan hampir kehabisan.

Beribu-ribu tentera dikerah ke zon bencana untuk tujuan membantu mangsa.

Manakala pesawat kargo tentera pula digunakan untuk membawa bekalan yang diperlukan.

Bagaimanapun, operasi menyelamat berdepan masalah jalan rosak dan timbunan sampah sarap kesan tinggalan taufan Haiyan.

Usaha-usaha menyelamat di Filipina kini ditumpukan ke Leyte dan Tacloban di wilayah timur negara itu.

Bagaimanapun, para pegawai berkata, mereka sukar untuk mengagihkan bantuan bukan sahaja disebabkan begitu banyak kesan akibat taufan tetapi juga berlaku kecurian.

Salah seorang pegawai berkata, dalam keadaan sukar pasca bencana, undang-undang tidak terpakai sekali gus membuatkan mereka berdepan kesukaran untuk mengeluarkan arahan.