Beberapa das tembakan dilepaskan oleh seorang individu dipercayai ketika merompak sebuah kafe di Berlin, Jerman pada Isnin.

Menurut pihak berkuasa Jerman, tiada kecederaan mahupun kemalangan jiwa dilaporkan.

Agensi berita tempatan melaporkan, kejadian berlaku di kawasan kedai di tengah kota Berlin. Sehubungan persimpangan yang sibuk antara Friedrichstrasse dan Kochstrasse, berdekatan Checkpoint Charlie yang menjadi tumpuan pelancong telah ditutup.

Pasukan polis bersenjata dilaporkan bersiap sedia di lokasi untuk memantau keadaan, khususnya kawasan kediaman di sekitar lokasi itu.

Ambulans juga tidak kelihatan pada jam-jam terawal kejadian tersebut.

Polis dalam satu kenyataan ringkas menerusi akaun Twitter rasmi memaklumkan, keadaan di tempat tersebut adalah terkawal.

Stesen penyiar Jerman, Rbb memetik kata jurucakap polis yang mengesahkan kejadian tembakan itu ada kaitan dengan percubaan merompak sebuah kafe.

Kawasan tersebut sangat popular dalam kalangan pelancong, memandangkan Checkpoint Charlie adalah titik lintasan Tembok Berlin sewaktu Perang Dingin. Lokasi kejadian juga terletak berdekatan dengan beberapa muzium, galeri dan bar.