Kira-kira 200 penunjuk perasaan mengadakan protes di hadapan kedutaan Amerika Syarikat di Mexico bagi membantah Donald Trump sebagai Presiden.

Penunjuk perasaan berkumpul sambil membawa sepanduk mendesak supaya tiada lagi pengusiran.

Penunjuk perasaan mendakwa Presiden Amerika Syarikat yang ke-45 itu sebagai mengamalkan perkauman.

BACA: Upacara angkat sumpah Trump dicemari protes

Trump, kata mereka, menuduh pendatang Mexico sebagai penjenayah dan perogol.

Mereka juga mendakwa, pengusiran besar-besaran oleh Trump itu sebagai tidak adil.

Penunjuk perasaan juga berkumpul di luar pengedar kereta Ford di ibu negara bagi membantah keputusan syarikat untuk mengabaikan rancangan membina kilang baru di Mexico.

Sementara itu, di Lima, Peru, warga Amerika Syarikat melaksanakan hak mereka membantah Trump sebagai presiden baru mereka.

Mereka menaiki bas dan berkumpul di George Washington Park, berhadapan kediaman duta Amerika Syarikat bagi mengadakan bantahan.

Trump telah ditabalkan sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-45 di Capitol Hill, Washington DC, pada 20 Jan.

Beliau mengangkat sumpah jawatan di hadapan Ketua Hakim Mahkamah Agung Amerika Syarikat, John Roberts pada pukul 1.05 pagi (12.05 tengah hari Jumaat waktu Washington).

Trump, 70 tahun, menggantikan Barack Obama selepas menewaskan calon Demokrat, Hillary Clinton pada Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat, pada 8 Nov lepas.