SUSULAN laporan seorang selebriti dan juruhebah (DJ) tempatan, Techin Ploypetch, disahkan positif COVID-19 minggu ini, lima lagi kontak rapat didapati positif virus tersebut.

Pengesahan kes-kes positif tersebut adalah selepas ujian saringan dilakukan ka atas kesemua individu yang merupakan kontak rapat Techin yang lebih dikenali sebagai DJ Matoom.

Perkara itu diumumkan Timbalan Gabenor Bangkok Sophon Pisuthiwong kepada agensi berita tempatan di Thailand, tanpa memberi perincian lanjut. 

Namun, pesakit yang kini sedang dikuarantin di hospital tempatan itu tidak dianggap ‘super spreader’, kata Sophon, sambil menyeru agar masyarakat kekal tenang.

Kes berkenaan mendapat perhatian ramai sejak Techin mengumumkan dia diuji positif dan menggesa mereka yang mungkin merupakan kontak rapatnya turut melakukan ujian saringan COVID-19.

DJ dan pelakon itu dipercayai dijangkiti virus berkenaan pada 9 Jan lalu.

Dia telah menghadiri majlis sambutan hari lahir di Banyan Tree Hotel, Jalan Sathon, pada hari tersebut.

Pada hari sebelumnya, dia telah mengunjungi beberapa pejabat GMM Grammy atas urusan kerja.

Susulan itu, syarikat hiburan itu telah menjalankan ujian saringan ke atas 331 kakitangannya di mana kesemua didapati negatif. 

Beberapa restoran dan pusat perniagaan di Bangkok bertindak menutup kedai pada Jumaat kerana dipercayai telah dikunjungi selebriti itu baru-baru ini, lapor Coconuts Bangkok.