Penerbangan Sichuan Airlines terpaksa mendarat kecemasan selepas satu jam berlepas kerana pembantu juruterbang disedut keluar separuh badannya daripada pesawat itu akibat cermin depan kokpit pecah, semalam.

Menurut Kapten Liu Chuanjian, pesawatnya berada di 30,000 kaki di udara apabila tiba-tiba terdengar letupan kuat di kokpit.

"Tiada amaran langsung. Tiba-tiba cermin depan retak dan meletup. Pembantu juruterbang pula disedut keluar separuh badannya melalui tingkap.

"Semua benda di dalam kokpit terapung. Kebanyakan peralatan tidak berfungsi dan saya tidak dapat mendengar radio.

"Saya juga tidak dapat membaca semua meter," katanya ketika ditemu bual media tempatan.

Tambahnya lagi, dia menarik masuk pembantu juruterbangnya yang memakai tali pinggang keselamatan.

Laporan media tempatan memetik insiden itu berpunca daripada kokpit hilang tekanan manakala suhu jatuh mendadak sehingga cermin depan sebelah kanan kokpit hilang.

Selain itu, Liu juga dipuji sebagai wira dan Sichuan Airlines turut berterima kasih kepadanya selepas berjaya menyelamatkan seramai 119 penumpang tanpa sebarang kecederaan dengan mendaratkan pesawat Airbus A319 itu secara manual.

Pentadbiran Penerbangan Awam China berkata, pembantu juruterbang itu cuma mengalami calar dan terseliuh pergelangan tangan manakala seorang lagi anak kapal juga cedera.

Siasatan masih dilakukan terhadap kejadian yang berlaku ketika anak kapal menghidangkan sarapan.

Pesawat ketika itu dalam perjalanan dari Chongqing ke Lhasa, Tibet sebelum mendarat kecemasan di Chengdu.

Pada bulan lepas, seorang wanita maut selepas disedut keluar dari tingkap sebuah pesawat Southwest Airlines beberapa minit selepas berlepas pada ketinggian 9,900 meter ketika penerbangan dalam perjalanan dari Bandar Raya New York menuju ke Dallas.

BACA: Enjin pesawat Southwest Airlines meletup, seorang maut