Seorang pendatang berusia 22 tahun yang mencuri perhatian dunia apabila memanjat bangunan setinggi empat tingkat untuk menyelamatkan seorang kanak-kanak di Perancis telah diberikan kerakyatan oleh Presiden Emmanuel Macron, sebagai penghormatan kepadanya.

Mamoudou Gussama yang disambut sebagai hero berasal dari Mali, Afrika, dan telah menetap di Paris sejak beberapa bulan lalu.

Dalam sebuah video yang tular sejak pagi tadi, Mamoudou dilihat memanjat balkoni sebuah bangunan kondominium sehingga ke tingkat empat untuk menyelamatkan seorang kanak-kanak yang berpaut pada balkoni banggunan tersebut.

Mamoudou yang bersusah payah untuk ke balkoni berkenaan kemudiannya menarik kanak-kanak tersebut ke dalam balkoni.

Pada masa sama, seorang lelaki dan wanita dewasa yang berada di rumah sebelah turut cuba membantu kanak-kanak itu melalui balkoni mereka namun gagal.

Usaha menyelamatkan kanak-kanak itu mengambil masa kurang dari seminit dan telah dirakam oleh orang ramai.

BACA: 'Spiderman' selamatkan kanak-kanak tergantung di balkoni

Macron telah memberi kerakyatan kepada Mamoudou sewaktu pertemuan mereka di Istana Elysee pada pagi Isnin. Malah, Mamoudou turut dilantik sebagai anggota bomba sukarelawan.

Dalam sebuah temubual bersama syarikat televisyen tempatan BFMTV, Mamoudou berkata apabila beliau melihat kanak-kanak tersebut tergantung, beliau tidak berfikir panjang dan terus cuba menyelamatkannya.

Jelasnya, apabila kanak-kanak itu sudah selamat di pangkuannya, beliau bertanya bagaimana kanak-kanak itu boleh jatuh dari balkoni rumahnya namun kanak-kanak itu tidak menjawab.

Insiden tersebut berlaku pada jam 8 malam waktu tempatan di utara Paris.

Datuk Bandar Paris Anne Hidalgo turut mengucapkan terima kasih kepada Mamoudou untuk keberaniannya menerusi laman Twitter rasminya. Beliau memberi nama gelaran ‘Spider-Man of the 18th’ sebagai menghargai tindakan yang dianggap seperti seorang adiwira.

Siasatan awal mendapati ibu bapa kanak-kanak itu tidak berada di rumah sewaktu kejadian. Bapa kanak-kanak itu kemudian disoal pihak berkuasa kerana membiarkan anaknya berada di rumah tanpa pengawasan. Ibu kanak-kanak itu pula dilaporkan tidak berada di Paris sewaktu kejadian.