Suara golongan sederhana yang kuat dan bersatu akan dapat menangkis dan mencabar ideologi pelampau dengan berkesan.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata usaha bersepadu rakyat dan negara-negara sedunia serta kecekalan mereka dalam mengukuhkan demokrasi berbilang kaum dan agama diperlukan bagi menewaskan pengaruh ekstremisme.

"Kesederhanaan, sebagai satu pendekatan bertujuan untuk merapatkan perbezaan dan menangani pelbagai bentuk ekstremisme, termasuklah pelampau politik dan agama.

"Ia juga merupakan satu pendekatan yang membimbing masyarakat dalam bidang hubungan antarabangsa dan dasar luar negara ke arah mencapai keamanan dan keharmonian global.

"Dalam hal ini, Malaysia yakin bahawa Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) boleh melengkapkan inisiatif organisasi yang mempunyai matlamat yang sama seperti UNAOC dalam menggalakkan masyarakat inklusif," katanya.

Ucapan itu dibacakannya pada Forum Global Perikatan Tamadun PBB (UNAOC) Ke-7 di Baku, Azerbaijan.

Ia merupakan jemputan, Menteri Luar Negeri Republik Azerbaijan, Elmar Mammadyarov dan Wakil Tertinggi UNAOC, Nassir Abdulaziz Al-Nasser.

Malaysia telah menjadi ahli kepada Group of Friends UNAOC semenjak penubuhannya dan telah menyertai kesemua Forum Global UNAOC serta mesyuarat-mesyuarat UNAOC di peringkat pegawai kanan.

Dalam pada itu, jelas Anifah, prinsip kesederhanaan adalah penting untuk mengekalkan masyarakat yang aman dan inklusif.

"Malaysia percaya bahawa ia adalah satu pendekatan menyeluruh, bukan sahaja dalam menyelesaikan perbezaan dan konflik secara aman tetapi juga untuk memastikan pembangunan yang mapan dan inklusif, pertumbuhan yang saksama, keharmonian sosial dan persefahaman di dalam sebuah negara atau rantau.

"Ia merupakan wadah untuk merungkai ketegangan serta menangani fahaman radikal dan ekstremisme.

"Adalah menjadi harapan Malaysia bahawa forum ini akan memperkukuhkan lagi kerjasama dalam pelbagai bidang yang berkaitan, mengukuhkan kerjasama sedia ada di samping memupuk perkongsian baru untuk memajukan matlamat dan inisiatif UNAOC," katanya.

Ujarnya lagi, hanya masyarakat yang inklusif dapat membolehkan setiap individu mengambil bahagian sepenuhnya dan menyumbang kepada semua aspek kehidupan, termasuk dalam proses membuat keputusan.

"Pendekatan untuk turut serta dalam proses membuat keputusan dan bagaimana masyarakat dibentuk akan menggalakkan semangat kekitaan. Ini mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk hidup bersama dengan aman dan harmoni.

"Ini sudah pasti dapat menyumbang terhadap kemajuan yang lebih besar dalam pembangunan dan kejayaan agenda pembinaan negara.

Masyarakat yang inklusif mengatasi semua bentuk perbezaan seperti bangsa, agama, budaya dan jantina.

"Ia akan turut memastikan peluang yang sama rata. Walaupun usaha untuk mengekalkan masyarakat yang inklusif merupakan satu cabaran yang besar, apa yang diperlukan adalah agar semua negara mengambil langkah-langkah konkrit untuk menerapkan dan memupuk nilai-nilai positif seperti toleransi, penerimaan, persefahaman dan kesederhanaan," jelasnya.

UNAOC ditubuhkan pada tahun 2005 atas inisiatif kerajaan Sepanyol dan Turki, di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).