Presiden Indonesia Joko Widodo mencuri perhatian dengan menyebut nama watak dari komik Marvel sewaktu menyampaikan ucaptamanya sempena Persidangan Ekonomi Sedunia (WEF) ASEAN yang kini berlangsung di ibu negara Vietnam.

Dalam persidangan yang sarat dengan pelbagai istilah berkaitan analisis sosioekonomi dan isu perdagangan antarabangsa itu, beliau memetik watak 'Thanos' sebagai analogi ancaman yang kini dihadapi komuniti dunia.

“Tidak pernah sejak zaman kemelesetan 1930-an, perang perdagangan memuncak dengan ketegangan seperti ini.

“Namun, bertenang, saya dan para Avengers akan sedia untuk memastikan Thanos tidak menghapuskan separuh populasi,” ujarnya yang disambut tepukan delegasi persidangan.

Tambahnya yang mesra dengan nama Jokowi dalam media negaranya, perang perdagangan perlu dihalang daripada menjadi perang infiniti.

“Anda mungkin tertanya – siapakah Thanos? Thanos bukan merujuk kepada mana-mana individu. Maaf kerana mengecewakan anda.

“Thanos wujud dalam setiap diri kita. Thanos adalah keyakinan salah yang membuatkan kita percaya bahawa untuk berjaya, orang lain perlu menyerah kalah.

“Ia tanggapan salah bahawa untuk bangkit bermakna pihak lain perlu diinjak,” katanya.

Perang infiniti, menurut Jokowi, bukan saja berkisar tentang perang perdagangan tetapi mengenai setiap negara belajar semula daripada sejarah.

Tegasnya, hanya dengan kreativiti, tenaga, kolaborasi dan usahasama, masyarakat dunia dapat menghasilkan sumber yang tidak kehabisan (infiniti) dan bukannya perang infiniti.