Donald Trump bersedia menandatangani rang undang-undang dwipihak berkaitan perbelanjaan dan keselamatan di kawasan sempadan untuk mengelak satu lagi penutupan kerajaan.

Namun, Presiden Amerika Syarikat (AS) itu akan turut mengisytiharkan perintah darurat kebangsaan bagi mendapatkan dana untuk membina tembok yang telah dijanjikannya dalam kempen pilihan raya presiden 2016, lapor agensi China Xinhua memetik kenyataan Rumah Putih pada Khamis.

"Presiden Trump akan menandatangani rang undang-undang perbelanjaan kerajaan dan seperti yang dinyatakan sebelum ini, beliau juga akan mengambil tindakan eksekutif lain - termasuk mengisytiharkan darurat - bagi memastikan bahawa kita dapat menghentikan krisis kemanusiaan dan keselamatan negara di kawasan sempadan," kata Setiausaha Akhbar Rumah Putih Sarah Sanders dalam kenyataan itu.

"Presiden sekali lagi berusaha menunaikan janjinya untuk membina tembok itu, melindungi kawasan sempadan dan menjamin keselamatan negara kita yang hebat ini," katanya.

Beberapa minit sebelum itu, Pemimpin Majoriti Senat Mitch McConnell telah mendedahkan rancangan Trump.

Beliau membuat pengumuman berkaitan perkara itu pada sidang dewan Senat dan berkata Senat perlu melakukan undian berhubung rang undang-undang tersebut yang perlu bagi mengelak satu lagi penutupan sebahagian kerajaan persekutuan AS pada Jumaat.

"Saya ingin menyatakan bahawa saya akan menyokong pengisytiharan perintah darurat kebangsaan itu," kata McConnell.

Rang undang-undang dwipihak itu akan memastikan perjalanan operasi kerajaan persekutuan sepanjang tahun fiskal namun tidak menyediakan dana sebanyak US$5.7 bilion yang dikehendaki Trump untuk membina tembok di sempadan dengan Mexico.

Dewan Perwakilan juga dijangka mengundi rang undang-undang itu pada Khamis.

Perisytiharan perintah darurat kebangsaan itu, yang membolehkan presiden melangkau kongres dan menggunakan pihak tentera untuk membina tembok tersebut, dijangka mencetuskan tindakan undang-undang bagi mencabar kuasa presiden.

Media tempatan, yang memetik kenyataan sumber kongres, melaporkan pada Selasa bahawa rang undang-undang itu akan melibatkan dana sebanyak US$1.375 bilion untuk pembinaan halangan fizikal di sepanjang sempadan AS-Mexico.

-- BERNAMA