HATI ibu mana yang tidak tersentuh melihat anak yang dikandung sembilan bulan kini terlantar di katil hospital kerana menghadapi masalah injap atau aortic stenosis selepas dua bulan dilahirkan.

Kalau boleh, biarlah derita kesakitan itu ditanggungnya kerana demikianlah lumrah bagi seorang ibu sedia memikul kesakitan anak.

Barangkali, perasan itulah yang kini sedang diharungi pelakon Lana Nodin apabila cahaya matanya yang berusia tiga bulan diuji dengan masalah injap.

Sekalipun tidak meluahkan rasa sedih, namun daripada perbualan Lana dengan Astro AWANI dapat dirasakan, dugaan yang dia dan suaminya, Daud Mohd Daud McKienzie bukan sesuatu yang mudah untuk ditanggung pasangan itu.

Apa lagi selepas jantung anak kedua pasangan itu, William Daud Mckienzie atau lebih dikenali sebagai Billy telah berhenti selama 10 minit ketika prosedur pembedahan diadakan pada Selasa.

Detik-detik cemas Lana dan suaminya itu dikongsi menerusi perkongsian Instalive.

Dalam entri itu, Lana memberitahu, doktor telah memberi bantuan pernafasan resutasi kardiopulmonari (CPR) kepada anaknya, namun selepas tiada sebarang tindak balas, doktor telah menggunakan kaedah defibrilasi iaitu kejutan elektrik dan jantung anaknya kembalik berdetak.

Sehubungan itu, Lana berkata, Billy kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Insititut Jantung Negara (IJN) selepas prosedur pembedahan tidak dapat diteruskan.

“Prosedur semalam (Selasa) tidak dapat dilakukan sebab masa nak buat, tindak balas Billy sangat lemah menyebabkan jantungnya terhenti selama 10 minit.

"Doktor tidak dapat teruskan prosedur pembedahan kerana bimbang memberi tekanan pada anak saya. Kini anak saya ditempatkan dalam wad kritikal selama 48 jam bagi tujuan pengawasan,” kata Lana kepada Astro AWANI.

Tambah Lana, doktor juga akan mengadakan sekali lagi perbincangan bagi menentukan prosedur pembedahan yang terbaik buat Billy.

Dalam perbualan itu, Lana mengharapkan peminat dan seluruh masyarakat dapat mendoakan kesejahteraan anaknya itu.

Selain Billy, Lana dan suaminya, Daud seorang warganegara Amerika Syarikat juga mempunyai seorang lagi cahaya mata iaitu, Gia Quinn McKienze yang berusia tiga tahun.

 DOA Lana buat anaknya, Billy yang kini diuji dengan kesakitan tidak pernah putus. Pelakon itu juga meminta peminat-peminat untuk sama mendoakan kesejahteraan anaknya. - Gambar Instagram Lana Nodin