Filem blockbuster yang dinanti-nantikan oleh peminat filem Korea Selatan di serata dunia, Pandora ditayangkan buat pertama kalinya kepada penggemar filem di luar republik itu malam ini, empat hari selepas ia memulakan tayangannya di tanah air sendiri.

Filem arahan Park Jung-woo itu membuat tayangan perdana antarabangsanya di Festival Filem dan Anugerah Macau (IFFAM) dengan kehadiran pengarah itu bersama beberapa orang pelakon utamanya.

Pandora merupakan antara filem yang mendapat sambutan hangat di IFFAM apabila tiket tayangannya awal-awal lagi sudah habis terjual.

Syarikat penstriman video gergasi dunia, Netflix sebelum ini mendapat hak eksklusif tayangan antabangsa dan dijadual menyalurkan filem itu kepada para pelanggannya di seluruh dunia tidak lama lagi. Filem itu diedarkan di pawagam hanya di Korea Selatan dan tidak di negara-negara lain.

Filem itu diterbitkan oleh Next Entertainment World, syarikat yang turut menerbitkan filem Train to Busan dan Seoul Station arahan Yeon Sang-ho.

BACA: IFFAM membuka tirai, rancakkan sinergi kebudayaan dan pelancongan

Filem yang dibintangi antaranya oleh Kim Nam-gil dan Kim Young-ae itu mengisahkan tentang sebuah sebuah pekan yang dilanda bencana gempa bumi sehingga memusnahkan sebuah loji kuasa nuklear.

Pandora mengambil masa empat tahun untuk siap dan gagal mendapat kebenaran daripada mana-mana loji nuklear di republik itu kerana ceritanya yang kontroversi dalam konteks politik negara tersebut.

Premis ceritanya ternampak jelas dipengaruhi oleh bencana nuklear di Fukushima kesan daripada gempa bumi yang melanda wilayah di Jepun itu pada 11 Mac 2011.

Filem tersebut juga dilihat membayangi kelemahan pentadbiran kerajaan dan krisis politik semasa Korea Selatan yang membawa kepada pendakwaan Presiden Park Geun-hye oleh parlimen republik itu pada Jumaat.




Treler filem Train To Busan - Sumber YouTube Zero Media

Sementara itu, IFFAM yang julung-julung kali diadakan turut memberikan fokus kepada Train to Busan melalui sebuah forum industri yang membincangkan kejayaan komersial filem genre itu.

IFFAM menamakan Train to Busan sebagai Filem Blockbuster Asia 2016 yang akan menerima anugerah khas pada malam penutup festival Rabu ini. Filem zombie itu memungut tidak kurang RM400 juta hasil kutipan panggung di seluruh dunia.

Train to Busan akan dibikin semula dalam bahasa Inggeris oleh studio filem Perancis, Gaumont hasil perjanjian yang dimeterai minggu ini antara studio tersebut dengan Next Entertainment World minggu ini.